BESUT: Sebanyak enam ekor lembu dihantar ke Kampung Pulau Perhentian, di sini menggunakan bot kargo bagi menyempurnakan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Perhentian, Nik Zawawi Mohd Nor berkata, lembu terbabit dibawa dari Jeti di Kampung Air Tawar ke Kampung Pulau Perhentian Kecil yang terletak kira-kira 34 kilometer dari Kuala Besut.
“Sejak 10 tahun kebelakangan ini, proses membawa masuk lembu korban ke Kampung Pulau Perhentian dilakukan dan penduduk tidak perlu lagi ke ‘tanah besar’ untuk melaksanakan ibadah korban.
“Sekarang ini pembangunan dalam sektor pelancongan di pulau itu berkembang pesat membuatkan ekonomi penduduk juga meningkat sekali gus membolehkan mereka melakukan ibadah korban,” katanya ketika ditemui di Jeti Kampung Air Tawar, semalam.
Katanya, harga lembu korban di Pulau Perhentian sedikit tinggi berbanding di kawasan daratan ekoran caj tambahan pengangkutan laut.
Menurutnya, satu bahagian lembu adalah sekitar RM700 ke RM800 termasuk kos penghantaran haiwan ternakan itu menggunakan bot kargo.
“Untuk seekor lembu ini dikenakan caj penghantaran sebanyak RM200, yang mana setiap tahun penduduk dan individu dilantik bagi proses pengurusan korban ini bekerjasama membayar caj penghantaran dengan mengehadkan lima ke tujuh ekor lembu sahaja.
“Lembu-lembu korban ini diperoleh daripada penternak dari sekitar daerah Besut untuk tujuan ibadah korban kerana kawasan dan sumber makanan yang terhad menyebabkan penternakan haiwan itu tidak boleh dilakukan di penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung Pulau Perhentian Kecil, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, proses ibadah korban di pulau itu dilakukan secara bergotong-royong di bawah seliaan pengurusan masjid.
“Kekurangan kepakaran untuk proses penyembelihan dan pengurusan lembu korban ini menyebabkan kita mengehadkan jumlah lembu korban setiap tahun.
“Walaupun permintaannya banyak sehingga boleh mencecah 10 ekor lembu tetapi faktor-faktor tertentu kita perlu mengehadkannya mengikut keperluan tenaga kerja yang ada,” katanya.










