Lebih 15 tahun cari herba di Nakawan

Herba Nakawan tarikan baharu Perlis

LELY Suriana Puteh menunjukkan antara jenis-jenis spesis tumbuhan herba di Banjaran Nakawan, Perlis. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sepasang suami isteri dan komuniti Wang Gunung di sini yang sudah lebih 15 tahun mencari herba di Banjaran Nakawan di sini mengorak langkah dengan menghasilkan produk berasaskan tumbuhan berkenaan.

Komuniti tersebut bersama syarikat MEP Ventures Sdn. Bhd. mengambil inisiatif membangunkan pelbagai produk herba dari banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia dengan jenama Nakawan Herbs itu yang sekali gus menjadi produk dan tarikan baharu di negeri ini, selain memberi limpahan ekonomi kepada penduduk sekitar.

Selain kaya dengan keindahan flora dan fauna, Banjaran Nakawan sepanjang 36 kilo­meter dari Bukit Batu Putih, Kuala Perlis ke Wang Kelian di sini memiliki lebih 60 jenis spesis tumbuhan herba berkhasiat yang baik bagi tujuan perubatan terutama untuk kesihatan dalaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Herba-herba yang tumbuh liar di Banjaran Nakawan berusia 480 juta tahun itu telah digunakan penduduk sejak zaman berzaman.

Antara spesis tumbuhan herba yang terdapat di Banjaran Nakawan tersebut seperti tongkat Ali, kacip Fatimah, setahun sebuku, kerbau jalang, akar ribu, kunyit akar, daun bidara, jejarum kuning, setahun sehelai, akar larak, belimbing tanah, akar kesinai dan banyak lagi.

Produk herba yang dihasilkan antaranya seperti minyak serbaguna Tok Gunung, minyak ikan Kedak Tok Gunung, minyak kelapa dara Tok Gunung, madu lebah Tok Gunung serta pelbagai lagi produk yang diproses secara tradisional dan digabungkan dengan teknologi terkini.

Wakil komuniti Wang Gunung, Lely Suriana Puteh, 51, berkata, dia bersama suami, Hamizat Had, 53, serta beberapa penduduk sudah berpengalaman lebih 15 tahun mencari pelbagai jenis spesis tumbuhan herba di banjaran berkenaan.

Katanya, antara usaha paling mencabar adalah ketika mencari tumbuhan herba seperti urat emas di ketinggian lebih 200 meter di banjaran tersebut.

“Sambil kami mencari madu lebah, kita juga mencari tumbuhan herba yang tumbuh meliar di Banjawan Nakawan ini. Tumbuhan herba ini mempunyai banyak manfaat khususnya berkaitan kesihatan dalaman.

“Usaha mencari juga bukan mudah, dengan perlu mengenali jenis-jenis tumbuhan tersebut. Antara paling unik yang ada di Banjaran Nakawan ini seperti spesis setahun sehelai, rancang besi, rancang tembaga dan banyak lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Pengarah Perhutanan negeri, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni pula berkata, komuniti Wang Gunung telah memainkan peranan mengeluarkan hasil hutan batu kapur di banjaran itu untuk dijadikan produk yang signifikan bagi penjagaan kesihatan. 

Katanya, Jabatan Perhutanan negeri amat mengalu-alukan penglibatan komuniti di Banjaran Nakawan untuk mempromosikan produk-produk dihasilkan mereka.

“Selain itu, komuniti-komuniti ini juga dapat menjadi mata dan telinga buat pihak jabatan untuk memastikan hutan kita ini terpelihara dan tidak diganggu pencerobohan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini