KUALA LUMPUR: Malaysia disaran melancarkan kempen secara besar-besaran bagi menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin menular dalam kalangan rakyat khususnya warga emas.
Penasihat Penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Prof. Jomo Kwame Sundaram berkata, langkah itu penting bagi memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang sihat, bermaruah dan bebas daripada penyakit kronik.
Katanya, walaupun jangka hayat rakyat Malaysia terus meningkat sejak tahun 1970-an, namun lonjakan usia itu tidak disokong oleh sistem simpanan, kesihatan dan sokongan sosial yang mencukupi.
“Saya mencadangkan agar Malaysia melancarkan kempen nasional untuk menentang penyakit tidak berjangkit, seperti diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, dalam ucapan Hari Kebangsaan mereka pada 2019.
“Data menunjukkan rakyat Malaysia hidup lebih lama. Namun, persoalannya adakah kita mampu untuk hidup lebih lama?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangan bertajuk ‘Hidup Lebih Lama: Adakah Malaysia Bersedia Menghadapi Cabaran Akan Datang’ di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025, hari ini.
Jomo berkata, berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), simpanan purata bagi pencarum berumur 51 hingga 55 tahun hanyalah sekitar RM159,952.
“Pada kadar inflasi dan pulangan semasa, jumlah ini hanya mencukupi untuk menyara kehidupan selama kira-kira 15.6 tahun.
“Ia juga dengan andaian seseorang itu hidup di bawah garis kemiskinan. Ini sangat membimbangkan,” katanya.
Tambah beliau, keadaan ini menunjukkan betapa seriusnya cabaran yang akan dihadapi Malaysia dalam mengurus penuaan penduduk jika tiada intervensi menyeluruh dilakukan segera.
Beliau turut menegur kelemahan struktur dasar negara, khususnya berkaitan pemakanan dan pencegahan penyakit sejak usia muda.
“Kita tidak boleh terus abaikan isu pemakanan. Contohnya, program pemakanan sekolah yang diselia oleh Kementerian Pendidikan tanpa input langsung daripada Kementerian Kesihatan. Ini adalah kelemahan struktur yang perlu diperbaiki,” katanya.
Beliau berkata, pencegahan penyakit perlu bermula dari peringkat sekolah dan hanya boleh dicapai melalui kolaborasi antara kementerian dan agensi berkaitan.
“Isu kesihatan dan penuaan perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama, bukan hanya dipikul oleh satu kementerian semata-mata.
“Terdapat keperluan pendekatan merentas sektor, demi membina masyarakat Malaysia yang lebih sihat dan bersedia menghadapi realiti penuaan populasi,” katanya. – UTUSAN










