PETALING JAYA: Kerajaan diminta menguatkuasakan semula pemasangan kotak hitam pada kenderaan perdagangan terutama bas dan lori bagi memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa.
Pada masa sama kelajuan kenderaan terbabit terutama bas ekspres dan bas persiaran perlu dihadkan menggunakan peranti khas supaya pemandu tidak memadu secara melulu melebihi had laju.
Cadangan ini dibuat susulan tragedi yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kelmarin.
Pemasangan kotak hitam pada kenderaan perdagangan telah diwajibkan lebih dua dekad lalu, tetapi terhenti separuh jalan.
Pensyarah Pengangkutan dan Logistik, Jabatan Teknologi dan Pengurusan Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Harlina Suzana Jaafar mempersoalkan sejauh mana pematuhan terhadap peraturan tersebut oleh pengendali bas.
Meskipun peraturan itu sudah lama digariskan, katanya, masih timbul keraguan sama ada semua pengendali bas benar-benar mematuhinya.
“Adakah sebenarnya wujud peraturan pemasangan kotak hitam ini? Kalau peraturan itu sudah ada, adakah ia dikuatkuasakan atau tidak?
“Dalam kes nahas bas melibatkan pelajar UPSI, sekiranya kotak hitam dipasang sudah tentu pihak polis akan memaklumkan pencariannya. Namun, kita langsung tidak mendengar tentang kotak hitam tersebut.
“Kita masih lemah dalam aspek penguatkuasaan dan sampai bila golongan pakar dan penyelidik perlu memberikan cadangan tetapi ia tidak dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 1998, Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik memutuskan untuk mewajibkan setiap bas ekspres dan bas persiaran memasang kotak hitam bagi merakam kelajuan kenderaan.
Keputusan muktamad bagi melindungi keselamatan orang ramai itu, bagaimanapun pernah dibantah oleh Kesatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres SeMalaysia yang menganggap pemasangan alat tersebut tidak bersesuaian.
Kelmarin perjalanan kembali ke kampus 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim berakhir tragedi apabila mereka maut selepas bas dinaiki terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan dan dipercayai berpunca daripada bas persiaran mereka naiki hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di kawasan selekoh di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik.
Kenderaan membawa 42 pelajar itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, 13 pelajar UPSI berusia antara 21 hingga 23 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik, sementara 27 lagi cedera.
Dalam pada itu, Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, setiap kenderaan berat sama ada bas atau lori perlu mempunyai tiga benda yang menjamin keselamatan jalan raya iaitu kotak hitam, telematik dan juga peranti had laju kenderaan.
Justeru kerajaan mesti segera mewajibkan pemasangan kotak hitam yang tertangguh sejak 15 tahun dulu yang ditentang oleh operator bas.
“Sepatutnya ada tiga benda yang perlu ada dalam kenderaan berat antaranya kotak hitam, telematik yang memantau pergerakan kenderaan tersebut dan peranti had laju. Jika tiga perkara ini ada, keselamatan penumpang akan terjamin
“Namun yang timbul masalah ada ramai operator menukar peranti had laju agar membawa kenderaan tersebut tanpa had laju. Bila mahu hantar ke Puspakom baru akses balik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Prof. Madya Dr. Siti Zaharah Ishak berkata, pemasangan kotak hitam pada kenderaan berat seperti lori dan bas wajar dilaksanakan segera bagi mengurangkan kadar kemalangan.
Tambah beliau, peranti tersebut memainkan peranan penting dalam merekodkan sepanjang masa pengoperasian kenderaan termasuklah kelajuan kenderaan, corak membrek, posisi kenderaan dan kecekapan sistem keselamatan.
“Syarikat pengangkutan boleh menggunakan data kotak hitam untuk menilai prestasi pemandu, memastikan pematuhan terhadap peraturan keselamatan dan mengenal pasti tabiat pemanduan berisiko.
“Kotak hitam juga boleh memantau keadaan enjin, penggunaan bahan api dan diagnostik kenderaan yang membolehkan syarikat menjadualkan penyelenggaraan secara proaktif dan mengurangkan risiko kerosakan,” katanya.
Tambah beliau lagi, perkara ini perlu diambil serius susulan statistik menunjukkan kemalangan membabitkan kenderaan berat seperti lori dan bas semakin meningkat.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) merekodkan kes kemalangan bagi semua jenis kemalangan termasuk yang melibatkan kerosakan melibatkan kenderaan berat di lebuh raya meningkat 4,064 kes pada 2024 berbanding 3,650 kes pada 2023. – UTUSAN









