Kesan besar kepada fatwa jika permohonan SIS Forum dibenarkan - MAIS

Kesan besar kepada fatwa jika permohonan SIS Forum dibenarkan – MAIS

Fatwa SIS Forum
SALEHUDDIN Saidin ditemui pemberita selepas melancarkan Program Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar 2025, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap permohonan mencabar fatwa oleh Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) yang akan diketahui esok didakwa akan memberi impak besar kepada masyarakat jika ia memihak kepada pertubuhan berkenaan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, sekiranya keputusan tersebut memihak kepada pertubuhan tersebut, ia akan membenarkan mana-mana fatwa yang dikeluarkan di seluruh negara dicabar oleh sesiapa.

Beliau berkata, keputusan yang sebaliknya berisiko mencetuskan kekeliruan kepada masyarakat apabila sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama dan pakar boleh dicabar begitu sahaja.

“Kita mengharapkan keputusan memihak kepada kita sebab implikasinya agak besar. Kalau ia tidak memihak kepada kerajaan, mereka boleh mencabar apa sahaja fatwa selepas ini.

“Fatwa merupakan satu keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa yang mengkaji daripada pelbagai aspek sebelum sesuatu keputusan dicapai bagi pemakaian di negeri ini. Jadi amatlah berharap keputusan itu (esok) memihak kepada kita,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar 2025.

Pada program tersebut MAIS mengagihkan wang saku sebanyak RM300 kepada 15,613 pelajar dan mahasiswa yang layak dengan peruntukan fidyah keseluruhan sebanyak RM4.68 juta bagi tahun ini.

Pada Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Selangor mewartakan fatwa terhadap SIS Forum dengan menyatakan kumpulan itu mengamalkan ideologi liberalisme dan pluralisme yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagaimanapun, pada Oktober tahun sama, pengasas SIS Forum, Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan mencabar keputusan jawatankuasa fatwa tersebut.

Namun, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan masing-masing pada Ogos 2020 dan Mac 2023 menolak permohonan semakan kehakiman dan rayuan mereka untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat kerana mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa berkaitan hukum syarak.

Kata Salehuddin, pihaknya sudah pun menyeru umat Islam di seluruh negeri mengadakan solat hajat sejak dua minggu lalu bagi memastikan keputusan Mahkamah Persekutuan esok dapat mengekalkan fatwa berkenaan.

“Kita adakan solat hajat dua minggu berturut-turut selepas solat Jumaat dan insya-Allah kita (terdiri daripada) jabatan dan institusi menggalakkan umat Islam untuk terus mengadakan solat hajat.

“Kita mahu supaya suatu ketika nanti keputusan yang menepati kehendak kita dapat dicapai,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN