KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mencampuri urusan kehakiman termasuk dalam keputusan melibatkan kes dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), walaupun berdepan tekanan dan desakan daripada pelbagai pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan mengarahkan hakim membuat keputusan mengikut kehendak tertentu adalah bertentangan dengan prinsip pemisahan kuasa yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi negara ini.
“Apa yang kamu mahu? Mahu saya jadi diktator dan arahkan hakim buat keputusan ikut pandangan peribadi kamu? Atau biarkan mahkamah jalankan tugas mereka?
“Ada yang bersetuju, ada yang tidak. Tetapi inilah maksud sebenar kebebasan badan kehakiman,” katanya ketika merasmikan Simposium ASEAN Madani Leadership Program bertemakan Memperkukuh Masa Depan ASEAN Berteraskan Wawasan Bersama di sini, hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan tetap berpegang kepada prinsip undang-undang dan tidak akan bertindak di luar batas kuasa eksekutif meskipun keputusan-keputusan mahkamah tertentu mengundang polemik di ruang awam.
Anwar berkata, kuasa Perdana Menteri tidak melangkaui bidang kuasa mahkamah atau Pejabat Peguam Negara dan sebarang campur tangan dalam proses perundangan hanya akan merosakkan asas sistem keadilan negara.
“Kalau saya masuk campur dan arahkan siapa patut dihukum atau dilepas, itu bukan reformasi, itu kediktatoran,” katanya.
Menurutnya, semua pihak perlu menghormati proses kehakiman dan tidak mempolitikkan keputusan mahkamah demi kepentingan tertentu.
Katanya, kerajaan akan terus memperkukuh institusi kehakiman dan memastikan tiada gangguan daripada mana-mana cabang kuasa dalam negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, prinsip kebebasan badan kehakiman bukan semata-mata berasaskan amalan barat seperti yang sering disalahtafsirkan, sebaliknya telah wujud dalam sejarah tamadun Islam sejak berabad-abad lamanya.
“Prinsip ini bukan soal ikut sistem barat. Dalam sejarah kita sendiri, keadilan ditegakkan tanpa mengira kedudukan. Maka, kita mesti kekal dalam jalur undang-undang dan bukan tunduk kepada desakan luar batas,”jelasnya.
Anwar berkata, langkah kerajaan mempengaruhi keputusan mahkamah atas alasan ‘keadilan segera’ adalah langkah berbahaya yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Sebelum ini, beberapa keputusan DNAA yang melibatkan tokoh politik termasuk bekas pemimpin kerajaan mencetuskan perdebatan dan persepsi dalam kalangan rakyat, dengan sesetengah pihak mendesak kerajaan supaya campur tangan.- UTUSAN