Kerajaan lancar RAKAN tangani aduan isu perpaduan

Kerajaan lancar RAKAN tangani aduan isu perpaduan

RAKAN
AARON Ago Dagang melawat reruai pameran keselamatan pada majlis perasmian Townhall Keselamatan dan Perpaduan Negara 2025 dan pelancaran RAKAN, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Perpaduan Negara melancarkan platform Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) bagi menangani laporan orang ramai berhubung isu-isu perpaduan di seluruh negara.

Sistem yang dilaksanakan secara dalam talian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu membolehkan orang ramai membuat aduan secara terus dan mendapat maklum balas menerusi kaedah yang lebih responsif serta masa nyata (real time).

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pelancaran sistem tersebut mendekatkan rakyat kepada kerajaan dalam usaha menjaga keharmonian nasional selain membudayakan tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat terhadap isu-isu sensitif.

“Platform itu dibangunkan oleh JPNIN bagi memudahkan orang awam menyalurkan aduan berkaitan isu-isu perpaduan, memperkukuh pengurusan maklumat dan respons serta meningkatkan kecekapan sistem pemantauan keselamatan dan keharmonian di peringkat akar umbi.

“Ia memperkasa komuniti untuk menjadi mata dan telinga kepada usaha-usaha menjaga keharmonian nasional,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Townhall Keselamatan dan Perpaduan Negara 2025 dan pelancaran RAKAN, hari ini.

Tambahnya, maklumat aduan dan datanya akan dipaparkan secara langsung dalam laman web RAKAN yang boleh dilihat oleh orang awam bagi melihat isu dan penyelesaian isu-isu perpaduan termasuk berkaitan bangsa, agama dan institusi diraja (3R).

Jelas Aaron, usaha itu diyakini mampu menangani isu-isu sensitif apabila maklumat aduan akan dikongsikan dengan dua agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan penguatkuasaan.

Selain itu, Aaron memaklumkan kementeriannya menyasarkan peningkatan skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) kepada 0.70 pada tahun ini berbanding 0.629 pada 2022 yang masih berada dalam julat tahap perpaduan baik dan terkawal.

“Dengan itu, pelbagai usaha seperti dialog komuniti, program integrasi pelbagai kaum dan pemerkasaan peranan akar umbi terus dipergiatkan.

“Meningkatkan skor IPNas bukan semata-mata soal statistik, tetapi memperkukuh asas sosial negara kta dari tahap persepsi hinggalah ke tindakan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN