SHAH ALAM: Penjawat awam diingatkan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula pada 15 April ini bukan peluang untuk mereka ‘bersenang-lenang’ dan mengambil mudah terhadap tanggungjawab, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata, penjawat awam yang terbabit dalam initiatif BDDR mesti melaksanakan tugasan mengikut peraturan ditetapkan selain menegaskan ketua jabatan masing-masing bertanggungjawab memantau kerja kakitangan masing-masing.
“Jangan salah faham, BDR bukan bermaksud baring duduk rehat atau membeli-belah di pasar raya. Output dan produktiviti mesti sama kerana pegawai yang melaksanakan BDR perlu mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan ditetapkan lebih awal,” katanya ketika menyampaikan Ucaptama Taat Setia Madani, di sini hari ini.
Katanya, BDR adalah sebahagian reformasi perkhidmatan awam yang menekankan kepada pencapaian hasil kerja dan tidak terhad kepada kehadiran fizikal di pejabat semata-mata.
Beliau berkata, BDR adalah langkah penjimatan yang perlu dilaksanakan selain mengurangkan pembaziran seperti penggunaan elektrik, penganjuran mesyuarat fizikal dan lawatan ke luar negara yang tidak perlu ketika negara mendepani ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
“Mesyuarat boleh dilaksanakan secara dalam talian dan penggunaan kemudahan perlu dioptimumkan kerana ia tanggungjawab bersama. Dalam era media sosial, kita perlu menjadi ejen penyampai maklumat yang benar dan bukan penyebar fitnah,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan BDR bermula 15 April ini sebagai langkah menangani kenaikan kos pengangkutan akibat kenaikan harga minyak dunia.
Keputusan itu dibuat setelah harga minyak global meningkat hampir sekali ganda berikutan perang di Asia Barat. Kenaikan harga minyak global memberi tekanan kepada kos subsidi kerajaan yang dijangka mencecah RM3.5 bilion sebulan. Kerajaan juga telah menyelaras jumlah subsidi BUDI95 kepada 200 liter daripada 300 liter selain meningkatkan pengawasan dan ketirisan bahan api itu.
Keputusan itu melibatkan semua kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan. Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan, Pertahanan dan Kesihatan dikecualikan daripada arahan itu. – UTUSAN










