SHAH ALAM: Selangor menubuhkan pasukan khas bagi menangani kesan konflik di Asia Barat yang diumumkan struktur dan peranannya selewat-lewatnya pada Isnin depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau kini sedang meneliti senarai cadangan yang dikemukakan jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum memuktamadkannya.
“Kita melihat senarai cadangan itu dan semua jabatan dan GLC diminta mengemukakan program masing-masing. Pasukan khas itu akan merangka pelaksanaan dan sokongan bagi menangani situasi semasa,” katanya selepas merasmikan program Jelajah Taat Setia Madani Negeri Selangor, hari ini.
Katanya, pasukan itu berperanan mencari jalan melalui pelaksanaan program dan aktiviti bagi mengurangkan impak langsung konflik di Asia Barat .
Beliau menambah, beberapa perkara utama hasil daripada sidang meja bulat sebelum ini turut dikenal pasti akan menjadi fokus utama pasukan khas itu yang memberikan tumpuan kepada sektor ekonomi dan keselamatan.
Amirudin berkata, selain itu, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 April ini akan diteruskan bagi menjelaskan perkara-perkara berbangkit berhubung konflik di Asia Barat dan tindakan diambil bagi menanganinya.
“Tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat, kerana tiada halangan termasuk aspek kesihatan yang boleh menjekaskan sidang,” jelasnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) mulai 15 April ini sebagai langkah awal menangani kesan kos pengangkutan akibat kenaikan harga minyak.
Ia melibatkan kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan. Namun dikecualikan adalah Kementerian Pendidikan, Pertahanan dan Kesihatan. – UTUSAN










