Kerajaan kekal komited laksana reformasi

Kerajaan kekal komited laksana reformasi

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, kekal komited untuk terus melaksanakan agenda reformasi menyeluruh berpaksikan prinsip yang madani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan kebendaan semata-mata tidak mencukupi sebaliknya ia mesti diseimbangkan dengan nilai manusiawi, keadilan sosial dan karamah insaniah.

Katanya, pembangunan prasarana dan infrastruktur tidak terbatas pada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Zon Ekonomi Khas Johor Singapura (JS-SEZ). 

“Kemudahan awam dan perkhidmatan rakyat terus diberi perhatian. Malah, sekolah-sekolah diperbaiki, hospital dinaik taraf, jaringan pengangkutan ditingkatkan. Rakyat tidak hanya dijanjikan harapan, tetapi juga dibela secara nyata dan berterusan.

“Strategi untuk meningkatkan pendapatan rakyat terus digerakkan melalui reformasi struktur ekonomi, kemasukan pelaburan-pelaburan berkualiti tinggi, pemerkasaan usahawan kecil dan sederhana, serta pengukuhan ekosistem teknologi dan inovasi. 

“Setiap anak watan harus berpeluang untuk maju, tanpa mengira latar belakang kaum atau budaya,” katanya demikian dalam ucapannya sempena Ulangtahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di Istana Negara, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kestabilan dan perpaduan nasional adalah syarat asas kepada segala kemajuan dalam dunia yang cepat berubah dan sarat dengan cabaran.

Maka, katanya perpaduan bukan pilihan sebaliknya ia adalah keperluan. 

“Justeru, segala usaha memperkukuh integrasi nasional akan terus diperkasa, demi memastikan tiada sesiapa pun terpinggir dalam perjalanan menuju masa depan yang lebih baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN