ALOR SETAR: Sebanyak RM20.38 bilion pelaburan pada tahun lalu telah direalisasikan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menerusi kerjasama dengan Kerajaan Kedah dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Ketua Eksekutif NCER, Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, angka itu merekodkan peningkatan berbanding RM11.6 bilion yang dicatatkan pada 2023.
Katanya, momentum positif itu berjaya dikekalkan pada tahun ini apabila NCER berjaya merekodkan RM9.11 bilion pelaburan direalisasikan dan mewujudkan hampir 2,000 peluang pekerjaan setakat 31 Mei lalu.
“Prestasi baik ini menjadi bukti keyakinan tinggi para pelabur dan pemain industri terhadap potensi masa hadapan yang ditawarkan oleh Kedah dan di wilayah utara amnya.
“NCER akan terus mainkan peranan penting dan mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Kedah dan agensi berkaitan bagi memastikan proses merealisasikan pelaburan di Kedah terus diperkasa dan memenuhi standard yang dikehendaki oleh para pelabur,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menghadiri Majlis Kolaborasi Strategik bagi Kemajuan Projek iCON Yan dan Baling anjuran NCER di sini, hari ini.
Mohamad Haris berkata, NCER turut membentangkan prestasi pelaburannya semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Kedah yang dipengerusikan Muhammad Sanusi.
“NCER turut menjelaskan perkembangan terkini projek strategik seperti Bandaraya Getah Kedah (KRC) dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) dan perancangan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini, merangkumi pelaksanaan projek Pusat Ekonomi dan Komuniti Bersepadu atau iCON.
“Turut dikemaskini adalah tentang peningkatan kemudahan pelancongan Mong Gajah, Tasik Pedu dan pembangunan Dataran Bukit Kayu Hitam,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan memohon kepada Kementerian Ekonomi untuk memberi perhatian terhadap projek pelebaran jalan dari Pekan Pokok Sena ke Padang Terap yang meliputi fasiliti untuk KRC.
“Laluan itu perlu empat lorong juga kerana bila ada industri, akan ada kenderaan berat dan jalan itu akan menjadi sibuk. Pengambilan tanah untuk pelebaran jalan itu telah dibuat dari Langgar ke Padang Sanai tapi sampai di Pokok Sena sahaja empat lorong, selepas itu dua lorong semula.
“Pencawang Masuk Utama (PMU) untuk KRC pun sudah siap walaupun TNB minta tempoh lima tahun untuk siapkan infrastruktur bekalan elektrik mencukupi untuk kawasan industri tapi kita minta dua tahun kerana nak segerakan dan sekarang sudah ada lima pelabur di KRC,” ujarnya. – UTUSAN







