NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan penilaian segera untuk mendapatkan kos sebenar kerosakan bangunan pentadbiran Sekolah Menengah Sains Alam Shah di Cheras, yang musnah dalam kejadian kebakaran hari ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memastikan kebajikan semua guru dan pelajar yang terlibat terjaga dengan menempatkan mereka di lokasi yang selamat sehingga tempat yang lebih kondusif untuk memulakan pelajaran dapat disediakan.
“Kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku susulan kebakaran tersebut. Saya juga sudah mengarahkan Ketua Setiausaha KPM untuk segera menilai dan membuat ‘assessment’ (penilaian) berhubung kerosakan yang berlaku akibat kebakaran itu bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan segera.
“Bantuan bersesuaian ini akan diberikan supaya proses pengajaran dan pembelajaran tidak terganggu sekali gus memastikan operasi sekolah ini dapat berjalan dengan baik dan kondusif,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Awam itu akan dilaksanakan dengan kerjasama antara KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan USM.
“Pengambilan pertama bermula pada hari ini (10 Jun) dan tempoh pengajian adalah selama 18 bulan.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 100 tempat disediakan bagi Program Tingkatan Enam Kampus UKM manakala sebanyak 60 tempat lagi disediakan bagi Program Tingkatan Enam Kampus USM,” katanya. – UTUSAN










