‘Kami bukan mahu duit tapi mahu tanah’

‘Kami bukan mahu duit tapi mahu tanah’

Rafidah Ibrahim bersama sebahagian penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur membuat protes aman susulan pengusiran secara paksa penduduk semalam. – UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Kami bukan mahu duit, tetapi kami mahu tanah kami.”

Demikian luahan penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang masih bertahan demi mempertahankan tanah Melayu di tengah ibu kota.

Penduduk yang mahu dikenali Mai, 70, berkata, dia menetap di Kampung Baru sejak lahir sebelum berpindah ke Kampung Su­ngai Baru ketika kecil dan menyaksikan sendiri perubahan kawasan itu sejak lebih 60 tahun lalu.

Katanya, pampasan yang ditawarkan tidak munasabah diban­dingkan lokasi kampung itu yang berhampiran dengan KLCC dan mempunyai kemudahan seperti LRT dan MRT.

“Tidak masuk akal untuk bagi harga pampasan tanah saya hanya RM450 satu kaki persegi, sedangkan depan sana RM3,000. Berani saja dia letak harga sesuka hati,” katanya ketika ditemui sebagai reaksi pengusiran secara paksa penduduk kampung itu. di sini semalam.

Sementara itu, aktivis sosial dan juga pelakon, Rafidah Ibrahim, 34, berkata, penduduk meminta kerajaan campur tangan segera bagi menghentikan tindakan tidak adil pihak berkaitan terhadap penduduk.

Katanya, hanya kerajaan yang mempunyai kuasa menghentikan pengusiran dan memastikan kampung warisan Melayu itu tidak terus terhapus atas nama pembangunan.

“Kita tidak minta lebih pun, cuma minta hak kami dipertahankan. Kawasan kampung kami sudah ada MRT, ada LRT, ada internet 5G. Kalau ikut logik, ia sudah cukup maju,” katanya.

Tambahnya, penduduk bukan menolak pembangunan tetapi menolak pendekatan tidak berperikemanusiaan yang meminggirkan hak masyarakat asal.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Nur Syafiqah Hashim, 34, di antara yang dipaksa keluar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lima tahun lepas.

“Saya kecewa sangat mereka cuba halau masa PKP. Waktu semua tengah susah, pejabat tidak buka, waktu itulah mereka datang bawa surat dan ugut suruh pindah.

“Arwah ayah saya dari dulu tidak setuju dan saya di sini untuk terus perjuangkan hak dia,” katanya.

Syafiqah menegaskan, tanah Kampung Sungai Baru bukan sekadar hartanah tetapi lambang maruah dan warisan orang Melayu yang perlu dipertahankan.

“Ini satu-satunya kampung Melayu yang tinggal di tengah bandar. Kalau ini pun hilang, apa lagi yang tinggal untuk bangsa kita?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN