LONDON: Penubuhan satu jawatankuasa bersama antara Malaysia dan United Kingdom (UK) akan dicadang diwujudkan bagi menerokai potensi besar sektor francais khususnya dalam bidang halal antara kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mendapatkan pelaksanaan jawatankuasa termasuk termasuk pencapaiannya yang akan dipantau setiap enam bulan.
“Kerjasama ini boleh meliputi bidang makanan dan minuman (F&B), pendidikan, kosmetik dan juga perubatan tradisional Melayu.
“Saya mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet mengenai francais dan akan mendapatkan laporan mengenai pelaksanaan jawatankuasa ini, termasuk pencapaiannya yang akan dipantau setiap enam bulan,” katanya kepada pemberita di sini.
Mengulas lanjut hasil lawatan kerja ke UK selama empat hari yang berakhir semalam, Ahmad Zahid berkata, lawatan tersebut memberi impak besar bukan sahaja kepada Malaysia, bahkan turut membawa manfaat kepada UK melalui kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, pelancongan dan sektor francais
Menurut Ahmad Zahid, lawatan tersebut memberi impak besar bukan sahaja kepada Malaysia, bahkan turut membawa manfaat kepada UK melalui kerjasama strategik dalam ketiga-tiga bidang berkenaan.
“Pendekatan lawatan kali ini berbeza kerana saya berpeluang bertemu secara langsung dengan pelajar-pelajar Malaysia di UK, khususnya mereka yang menerima tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara),” katanya.
Dalam lawatan itu juga, Ahmad Zahid menekankan kepentingan memperkukuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang menurutnya menerima maklum balas positif daripada institusi pendidikan terkemuka seperti University College London (UCL).
“TVET mendapat respon yang sangat baik daripada UCL. Mereka teruja dengan pendekatan ‘game changer’ yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.
“Kita menyasarkan 60,000 peluang pekerjaan untuk jurutera dalam bidang teknologi tinggi. Oleh itu pelaksanaan segera program training for trainers (latihan untuk jurulatih) amat diperlukan bagi melahirkan tenaga pengajar berkualiti dalam sektor ini,” jelasnya.
Katanya, kerajaan juga mahu pelajar TVET tidak hanya mengisi keperluan tenaga kerja, tetapi turut diberi ruang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Ahmad Zahid menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mampu menarik lebih 500,000 pelancong dari UK sempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
“Saya berpuas hati dengan usaha Tourism Malaysia. Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, kita sudah melihat peningkatan ketibaan pelancong dari UK,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijadual ke Geneva, Switzerland sehingga 5 Jun untuk mewakili Malaysia bagi menyampaikan ucapan pada Persidangan Platform Global untuk Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) anjuran Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR).-UTUSAN










