Jambatan Pos Balar dibina segera

Jambatan Pos Balar dibina segera

KEADAAN jambatan runtuh yang menghubungkan perkampungan Orang Asli di Pos Balar, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan menyegerakan pembinaan jam­batan di Pos Balar bernilai RM400,000 bagi menggantikan kemudahan itu yang runtuh dihanyutkan arus deras pada 9 Mac lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sapiah Mohd. Nor berkata, faktor lokasi dan bentuk muka bumi serta cuaca diambil kira dalam proses pembinaan kemudahan itu nanti.

“Perkara itu sudah berada di peringkat terakhir proses perolehan sebelum kerja baik pulih dimulakan dengan kadar segera.

“Kita akan bina jambatan yang lebih kukuh dan selamat untuk digunakan penduduk di pedalaman,” katanya ketika ditemui pada Program Kembara Mesra Rakyat di Pos Pasik di sini, semalam.

Sapiah menafikan dakwaan pihaknya berdepan kekangan kewangan ketika ini kerana tindakan segera telah dilaksanakan sebaik sahaja laporan kerosakan diterima pada Mac lalu.

Katanya, sesebuah projek infrastruktur termasuk pem­binaan semula jambatan di Pos Balar perlu melalui proses perolehan bagi mematuhi prosedur ditetapkan kerajaan.

“Perolehan melibatkan peruntukan dan kita melihat aspek teknikal sesuatu projek tersebut sebelum pembinaan dilakukan. Keputusan perolehan telah dite­rima dan pembinaan segera dilaksanakan pada bulan ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, pembinaan semula jambatan di Pos Balar memerlukan campur tangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya ia dapat direalisasikan dengan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, ia merupakan keperluan mendesak bagi memastikan murid-murid dapat kembali ke sekolah, selain memudahkan urusan keluar masuk penduduk di sekitar Pos Balar termasuk warga pendidik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN