PETALING JAYA: Penyampai radio, Wan Syahrul Amry atau dikenali sebagai Wan Ajaib menggerakkan usaha dengan menubuhkan Kelab Pencinta Radio Kelantan dan Akademi Wan Ajaib.
Katanya, inisiatif tersebut digerakkan untuk menghidupkan semula minat anak muda di negeri itu terhadap dunia penyiaran.
“Berbekalkan pengalaman hampir dua dekad dalam industri radio Malaysia, termasuk di stesen-stesen utama seperti IKIM, Suria FM dan Zayan, saya kini memilih untuk pulang berbakti ke tanah kelahiran saya di Kelantan.
“Kelab dan akademi ini ditubuhkan sebagai platform untuk melahirkan bakat baharu dalam bidang radio, ‘podcasting’ dan media digital.
“Kelab Pencinta Radio Kelantan akan menjadi ruang komuniti terbuka untuk peminat penyiaran yang merangkumi peminat muzik, pengacara amatur, peminat nostalgia radio klasik, hinggalah ke generasi baru TikTok dan podcast,” katanya dalam kenyataan.
Pelbagai Aktiviti seperti sesi konti terbuka, bengkel teknik suara, dan sembang santai bersama figura radio akan dianjurkan secara berkala dibawah kelab tersebut.
Manakala Akademi Wan Ajaib pula akan berfungsi sebagai pusat latihan dan bimbingan khusus dalam bidang penyiaran, dengan modul merangkumi Asas penyiaran radio dan podcast, Penulisan skrip kreatif, Pengurusan kandungan media sosial, Teknik rakaman dan suntingan audio serta Etika penyiaran Islamik dan tanggungjawab sosial digital
Menurut Wan Syahrul lagi, matlamat utama beliau adalah mencipta peluang, bukan hanya hiburan, malah memberi ruang kepada generasi muda Kelantan untuk mengenali potensi diri dan menjadikan minat terhadap radio sebagai kerjaya yang bermakna.
“Kelantan sebenarnya penuh bakat. Kita cuma perlu bagi platform dan pendedahan. Akademi ni bukan sekadar mengajar, tapi juga membina jati diri dan keyakinan untuk bersuara, dari konti ke komuniti,” ujar beliau.
Layari www.wanajaib.com atau ikuti akaun Instagram dan TikTok wanajaib untuk maklumat lanjut. – UTUSAN










