BESUT: Meskipun terpaksa berkerusi roda akibat cedera dalam tragedi bas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pada 9 Jun lalu, ia tidak mematahkan semangat Nurul Farhana Ab. Aziz meneruskan pengajiannya.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi berusia 23 tahun itu berkata, selepas dibenarkan keluar hospital beberapa hari lalu, dia menyertai kelas secara dalam talian, walaupun diberi cuti sakit dan kini berada bersama keluarga di Kampung Padang Luas di sini.
“Saya mengalami keretakan di bahagian buku lali kaki kanan sehingga menyebabkan tidak dapat berjalan buat sementara waktu. Saya perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
“Buat masa sekarang, saya masih berehat di kampung dan dibenarkan mengikuti kelas secara dalam talian oleh pensyarah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 9 Jun lalu, perjalanan kembali ke kampus 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berakhir tragedi apabila mereka maut selepas bas dinaiki terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan di kawasan selekoh di Kilometer 53, JRTB yang menghubungkan Jeli, Kelantan dengan Gerik, Perak.
Dalam kejadian kira-kira pu-kul 1 pagi itu, 13 pelajar UPSI berusia antara 21 hingga 23 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik, sementara 27 lagi cedera.
Nurul Farhana berkata, dia menghadapi cabaran apabila berlaku gangguan talian ketika mengikuti kelas dan terpaksa meminta bantuan rakan-rakan yang belajar secara bersemuka dalam kelas.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu bersyukur apabila pensyarah dan rakan memahami keadaan dirinya dan sedia membantu.
Katanya, mengakui masih trauma dengan tragedi itu, dia perlu memberi tumpuan kepada pembelajaran kerana bakal menjalani peperiksaan bulan depan.
Sementara itu, penuntut Sarjana Muda Bahasa Arab, Nur Ain Najwa Mohd. Ilias, 23, berkata, dia diberi kelonggaran tidak masuk kelas buat sementara waktu sehingga bahu kirinya yang patah pulih.
“Saya masuk juga kelas walaupun secara dalam talian kerana tidak mahu ketinggalan pelajaran. Saya belum pasti sama ada akan menduduki peperiksaan kerana perlu menunggu bahu saya pulih,” katanya. – UTUSAN