Kerja pembaikan, pembersihan siap dalam dua hari

Kerja pembaikan, pembersihan siap dalam dua hari

HANNAH Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud ketika melawat tapak runtuhan tembok penahan di jalan Abang Haji Openg, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerja pembaikan serta pembersihan runtuhan tembok penahan di Jalan Abang Haji Openg, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dijangka siap dalam tempoh dua hari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kerja-kerja membaik pulih akan dimulakan secepat mungkin bagi memastikan keadaan kembali selamat.

Katanya, usaha pembaikan dan pembersihan akan dilaksanakan dengan bantuan daripada pihak Jabatan kerja raya (JKR) Selangor serta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kerja pembaikan serta pembersihan akan segera dilaksanakan dan dijangka akan siap dalam tempoh dua hari.

“Selain itu, pihak kontraktor akan memantau secara berterusan kerja-kerja pembaikan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

 “DBKL juga turut menyediakan pusat kawalan operasi bagi memberi bantuan kepada penduduk yang memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau tapak runtuhan tembok penahan di TTDI, hari ini.

Semalam runtuhan tembok penahan berhampiran tapak projek pembangunan zon pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara Fasa 1B di Jalan Abang Haji Openg, TTDI dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan antara 3.30 petang hingga 5.30 petang.

Laporan awal mendapati limpahan air dari kawasan bukit di tapak projek telah menyebabkan ban tanah pecah sebelum mengalir ke Silt Trap 1 (perangkap kelodak), sekali gus meningkatkan tekanan aliran air.

Dalam masa sama, sistem saliran awam di bahagian hilir gagal menampung aliran tersebut, ditambah dengan halangan utiliti di beberapa lokasi yang menyebabkan air bertakung dan melimpah ke jalan, sekali gus mengakibatkan sebahagian tembok penahan runtuh bersama papan dendeng.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI, Abdul Jabar Ahmad Junid, 58, berkata, banjir lumpur susulan kejadian itu menjejaskan beberapa rumah berhampiran.

“Hujan lebat  menyebabkan air lumpur memasuki rumah penduduk, namun dengan bantuan pihak berkuasa kerja pembersihan dapat dilaksanakan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN