KITA mula mendepani cabaran dunia akhir zaman apabila berlaku kemungkaran secara berleluasa dan tidak dapat dibendung lagi hanya Allah sahaja yang mengetahui setiap perbuatan mahu pun aktiviti kehidupan hamba-Nya.
Pelbagai bencana yang kita hadapi berpunca daripada kecuaian manusia sendiri sebagai pelaku hanya semata-mata untuk mencapai kepentingan diri dan pihak tertentu sehingga mengancam serta merosakkan insan lain.
Bencana seperti kerosakan alam sekitar termasuk habitat haiwan, peperangan, monopoli dalam bidang ekonomi serta mengaut keuntungan atau kemewahan tertentu antara cabaran yang berlaku pada akhir zaman ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pembantu Hal Ehwal Islam Masjid Sultan Mahmud bandar Kuala Lipis, Ustaz Mohd. Akmal Abdul Manab berkata, bermula daripada bencana yang besar sehingga melibatkan ramai insan tidak berdosa terkorban, kehilangan keluarga, kemusnahan harta benda dan tempat tinggal, ia berpunca daripada sikap tamak, fitnah dan perbuatan mazmumah sesetengah pihak yang bertentangan dengan syariat Islam.
“Allah SAW mengingatkan kita semua supaya berwaspada dengan segala fitnah atau keburukan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi kita yang hidup di akhir zaman ini,” katanya.
Beliau meminta umat Islam mengambil pengajaran daripada firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 25, yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.”
Katanya, Rasulullah SAW banyak memberi panduan kepada umatnya bagaimana menghadapi kehidupan akhir zaman malahan sentiasa berwaspada dengan ancaman daripada manusia lain yang mencetuskan persengketaan dengan asbab perkara kecil demi mencapai keinginan nafsu mereka.
Katanya, sebagai contoh Rasulullah SAW memberi peringatan dalam hadis riwayat Ibnu Majah yang bermaksud: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan di mana orang yang penipu dianggap berkata benar, orang yang berkata benar dianggap penipu, pengkhianat dianggap jujur dan orang yang jujur dianggap pengkhianat”.
Beliau berkata, hari ini kebanyakan orang ramai lebih percaya kepada para pendusta, tambahan pula jika mereka berjaya menguasai media massa lebih-lebih lagi media sosial yang mendominasi serta menjerat pemikiran orang ramai.
“Melalui media sosial mereka berkenaan berusaha supaya masyarakat percaya dengan percakapan dan penulisan mereka sehingga pembohongan dan fitnah tersebar dengan meluas.
“Bagi mengelak diri daripada pembohongan yang berleluasa ini, kita hendaklah mengambil maklumat dan ilmu pengetahuan daripada sumber yang benar. Apatah lagi jika berkaitan ajaran agama Islam,” katanya.
Mohd. Akmal berkata, masyarakat Islam perlu mengambil ilmu agama yang sahih daripada para ulama yang berautoriti mendapat kebenaran dan pengiktirafan daripada Majlis Agama Islam di negeri masing-masing supaya selamat daripada kesilapan dan kesesatan.
Pada akhir zaman, katanya, manusia sudah tidak dapat lagi membezakan antara kebaikan dan keburukan dengan melakukan sesuatu perbuatan pada sangkaannya baik, tetapi di sisi Allah merupakan kemungkaran dan maksiat.
Beliau berkata, ada dalam masyarakat kita yang melakukan kebaikan pada satu-satu masa, tetapi tidak lama kemudian beralih perbuatan kemungkaran pula.
“Hal ini disebabkan kalangan mereka sudah tidak tahu membezakan antara baik dan buruk. Tambahan pula maksiat dan mungkar datang dalam bentuk hiburan, sukan dan pesta-pesta. Sehingga kita merasakan semua maksiat ini seolah-olah menjadi perkara biasa atau rutin harian sehingga langsung tidak bimbang dengan kemurkaan Allah,” katanya.
Mohd Akmal berkata, memang benar seperti sabda Rasulullah SAW yang menggambarkan suasana tersebut seperti waktu malam yang gelap kerana manusia tidak dapat membeza antara kebaikan dan keburukan.
Sabda Nabi dalam hadis riwayat Imam Muslim, Yang bermaksud: “Hendaklah kamu bersegera melakukan amalan-amalan sebelum datangnya fitnah-fitnah ibarat kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Seseorang itu menjadi beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petang, atau beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi. Ini kerana dia menjual agamanya dengan sedikit mata benda dunia.”
Justeru, Mohd. Akmal berharap semua umat Islam di negara ini selamat dalam menjalani kehidupan akhir zaman ini, dengan mengikut pesanan Nabi Muhamad SAW antaranya, iaitu berpegang dengan sunah Rasulullah SAW, segera melakukan amalan soleh, kurangkan perbuatan sia-sia, jauhi tempat-tempat maksiat, hadirkan diri ke masjid dan sentiasa berada dalam majlis ilmu. Insya-Allah akan selamat di dunia dan di akhirat.-UTUSAN










