KUALA PILAH: Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat Madani 2025 Ketua Polis Negara di Kompleks Institut Pengakuan Tasawuf di Kampung Parit Seberang, di sini hari ini menjadi program terakhir buat Tan Sri Razarudin Husain memikul jawatan nombor satu pasukan keselamatan itu.
Kata Razarudin, beliau tidak mempunyai hasrat untuk meneruskan jawatan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) dan akan menyerahkan jawatan itu kepada penggantinya pada 20 Jun ini.
Tambahnya, keputusan itu juga bagi menghormati ‘hajat’ ibunya supaya beliau tidak menyambung kontrak bagi jawatan itu.
Kata beliau, hajat ibunya, Rahmah Ab Rahman, 86, itu juga sudah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri berkaitan.
“Ini program terakhir saya, insya-Allah kalau tiada ada aral, 20 Jun ini serah terima tugas dan paluan berundur akan berlaku.
“Pertama sekali saya kena beritahu sebenarnya, ibu saya pun ada hadir hari ini dan dia pun cakap kalau boleh jangan sambung-sambung lagi.
“Sepatutnya saya habis kontrak memang tidak perlu sambung lah. Apabila ibu saya berhasrat macam itu, saya akur, saya pun sudah 62 tahun, hidup sudah lama dengan dia (ibu), sebutan daripada mulut dia itu sebagai satu doa.
“Saya tidak berani ingkar dengan apa yang dikehendaki ibu saya. Ibu saya punya wish (hajat) itu pun saya sampaikan kepada PM (Perdana Menteri) dan menteri… tidak perlu saya hendak sambung, perlu ada pengganti untuk saya, cukup untuk saya dua tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Ketika ditanya mengenai harapan kepada kepemimpinan baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Razarudin memberitahu perkara itu akan dikongsikan pada Majlis Serah Terima Tugas pada minggu hadapan. – UTUSAN