PETALING JAYA: Ketika umat Islam seluruh dunia bersiap menyambut Aidiladha dalam suasana penuh syukur dan penghayatan, rakyat Palestin di Gaza terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis apabila serangan demi serangan dilancarkan tanpa henti ke atas wilayah bergolak itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, tiada sebarang perkembangan baharu dalam rundingan gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan juga semakin terhenti.
“Sejak 3 Mac lalu, hampir tiada bantuan kemanusiaan yang berjaya masuk ke Gaza, kecuali beberapa buah lori sahaja.
“Keperluan makanan, air dan ubat-ubatan sangat mendesak. Penduduk kini makan apa sahaja yang ada, malah ada yang hanya makan sekali sehari. Harga barang melambung tinggi, daging lembu mencecah RM47,000 seekor, telur pula RM20 sebiji,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, katanya, serangan udara oleh Israel terus menyasarkan kawasan padat penduduk termasuk Syujaiyah.
Menurut Muhammad Nadir, cubaan memasuki Gaza melalui jalan darat pula tidak berhasil apabila tentera Zionis terbunuh terkena jerangkap samar pejuang Palestin.
“Rejim Israel kini kekal menyerang dari udara kerana serangan darat berisiko tinggi kepada nyawa tentera mereka,” tambahnya.
Menurut Eksekutif Strategik CGM, Haikal Zulkefli pula, serangan terbaru sekitar jam 5 pagi semalam di kawasan Syujaiyah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang.
“Lokasi yang digelar ‘zon selamat’ juga sudah tidak lagi boleh dipercayai kerana sering menjadi sasaran pengeboman.
“Kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa di Tebing Barat juga semakin dikawal ketat menjelang Aidiladha apabila rejim membenarkan pelawat Yahudi melakukan ritual di sana, sekali gus mencetuskan provokasi dan kemarahan umat Islam,” ujarnya.
Haikal berkata, penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal kini berlindung di khemah pelarian berhampiran pantai dan kawasan tengah Gaza yang masih dianggap selamat dan mempunyai akses kepada air bersih.
Dalam masa yang sama, katanya, CGM meneruskan pelbagai inisiatif bantuan termasuk penghantaran daging korban yang diproses dan ditinkan di India, sebelum dihantar ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Dari situ, penghantaran diteruskan melalui Jordan dan Tebing Barat sebelum tiba di Gaza,” katanya.
Sementara itu, seorang rakyat Malaysia yang mempunyai keluarga di Gaza, Nurul Ain Haron, menyifatkan kehidupan rakyat Palestin kini seperti menunggu giliran untuk mati, sama ada disebabkan kebuluran, pengeboman atau dibakar hidup-hidup.
“Setiap malam rakyat Palestin menghabiskan masa menunggu kematian mereka. Mereka menunggu giliran untuk makanan, air dan ubat-ubatan, jika ada.
“Penduduk terpaksa meninggalkan rumah demi menyelamatkan nyawa, lalu bermalam di jalanan.
“Zon selamat hanyalah pembohongan. Khemah-khemah pelarian sendiri menjadi sasaran. Kita dengar terlalu banyak pembunuhan beramai-ramai. Bantuan Amerika hanya janji palsu yang menggoda orang kelaparan dengan sebuku roti, tetapi akhirnya mendedahkan mereka kepada peluru dan bom,” katanya dalam nada hiba. – UTUSAN










