MELAKA: Empat anggota polis direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM2,000 daripada seorang lelaki sebagai balasan tidak dikenakan tindakan atas kesalahan berdua-duaan dalam kereta, dua minggu lalu.
Perintah reman sehingga 28 Jun ini dikeluarkan Majistret Sharda Sheinha Mohd. Suleiman terhadap suspek lelaki berusia antara 26 hingga 40 tahun itu.
Kesemua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mereka ditahan antara pukul 3.50 hingga 4 petang semalam ketika diarahkan hadir untuk pengecaman di Pejabat SPRM Melaka.
Menurut sumber, suspek terdiri daripada dua anggota berpangkat koperal, seorang konstabel manakala seorang lagi merupakan Sukarelawan Polis berpangkat koperal.
Katanya, kesemua suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pengadu yang ditahan kerana berdua-duaan dengan kekasih dalam sebuah kereta di Jalan Melaka Mall.
Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










