Doktor nasihat Abdul Hadi kurangkan aktiviti luar - anak

Doktor nasihat Abdul Hadi kurangkan aktiviti luar – anak

MUHAMMAD Khalil Abdul Hadi menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, Marang, Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pre­siden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti-aktiviti luar termasuk memberi ceramah bagi menjaga kesihatannya yang merosot sejak kebelakangan ini.

Anaknya, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bapanya itu  kini berada di Kuala Lumpur dan akan menjalani rawatan susulan dalam masa terdekat.

“Status kesihatannya biasalah Tok Guru (Abdul Hadi) ini macam orang lain juga, ada masa sihat dan ada masa sakit.

“Jadi doktor nasihat supaya kurangkan aktiviti-aktiviti luaran termasuk ceramah dan mengajar.  Ada rawatan susulan yang akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, semalam.

Tahap kesihatan Abdul Hadi menjadi persoalan apabila Ahli Parlimen Marang itu jarang muncul di khalayak sejak kebelakangan ini termasuk tidak menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, sejak dua minggu lalu.

Kuliah duha menjadi  rutin mingguan Abdul Hadi setiap Jumaat sejak berpuluh tahun lalu namun kali terakhir beliau menyampaikan kuliah berkenaan adalah pada 30 Mei lepas.

Pada pada 6 Jun lalu dan semalam, Muhammad Khalil yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas menyampaikan kuliah berkenaan.

Faktor kesihatan Abdul Hadi turut dikatakan menjadi alasan beliau didakwa memberi bayangan  untuk berundur daripada jawatan sebagai Presiden Pas, namun pemimpin parti itu menafikannya.

Ditanya sama ada Abdul Hadi mampu menjalankan tanggungjawabnya berkesan ekoran keadaannya, Muhammad Khalil berkata, jawapannya boleh dirujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini.

Beliau juga tidak mahu mengulas berhubung kedudukan Abdul Hadi sebagai Presiden Pas dan tidak pernah sama sekali mendengar ura-ura pengunduran itu daripada mulut bapanya.

Katanya, walaupun mungkin kesihatan Abdul Hadi tidak seperti dahulu, namun keadaan itu tidak bermakna perlu berundur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×