KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa bersama pembangkang perlu ditubuhkan kerana segala dasar yang dirancang oleh kerajaan selama ini kebanyakannya tidak melibatkan mereka.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu bertujuan bagi mencapai kata putus yang lebih baik memandangkan kebanyakan pemimpin Perikatan Nasional (PN) juga pernah mentadbir kerajaan.
“Saya sudah bagi contoh bincang soal tarif yang dikenakan Amerika Syarikat, saya bawa agenda ini dan mereka bersetuju mewujudkan kaukus jawatankuasa dihadiri oleh semua pihak kerajaan, pembangkang, golongan berkemahiran.
“Maknanya, apa yang dipersetujui ini bermula dari situ, kalau boleh dibawa dengan cara sebegitu, negara kita akan lebih aman kerana perbincangan yang dibawa dalam Parlimen adalah suatu yang lebih tinggi dari segi pemerhatian rakyat terhadap apa sahaja yang dibincangkan,” katanya ketika ditemubual eksklusif Utusan Malaysia, semalam.
Sebelum ini, Sidang Khas Parlimen diadakan pada Mei lalu bagi memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan tarif timbal balas dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas pelbagai negara, termasuk Malaysia.
Pada ketika itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kenyataan berhubung isu tersebut dan memberi penerangan mengenai kesannya ke atas ekonomi Malaysia.
Perbincangan tersebut melibatkan seluruh ahli Parlimen tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, dimana Hamzah dalam sidang khas tersebut menegaskan kebimbangan terhadap beban kewangan yang ditanggung pengguna.
Hamzah menyentuh kenaikan harga petrol RON95 iaitu bahan api yang lebih biasa digunakan untuk kegunaan kenderaan harian sebagai beban atas tarif yang dikenakan Washington.
Senada dengannya adalah Ahli Parlimen kerajaan daripada DAP, Lim Guan Eng turut memberi penekanan yang sama dalam perbahasan beliau melahirkan kebimbangan besar sumbangan sektor industri kecil dan sederhana (IKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan menyusut sehingga 35 peratus jika langkah perlindungan tidak diambil segera.
Mengulas lanjut, Hamzah turut menyebut beberapa nama pemimpin PN seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Dr. Radzi Jidin yang dilihat berpotensi dan mampu memberi pandangan mengenai dasar-dasar kerajaan
“Sebab itu saya bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bagi membincangkan isu berkepentingan rakyat. Pada saya apa yang penting adalah bila kerajaan lakukan sesuatu, jangan ada persepsi yang dia rasa kau nak terima, ambil, kalau tak nak sudah. Tidak boleh begitu.
“Ia mesti ada keikhlasan, kita duduk, kita bincang untuk kepentingan semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang, tetapi yang diutamakan adalah rakyat demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya.-UTUSAN










