Pengusaha bot Pulau Perhentian raih RM5,000 sehari

Cuti sekolah: Pengusaha bot Pulau Perhentian raih RM5,000 sehari

PENGUNJUNG mengambil peluang makan angin ketika cuti persekolahan di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Cuti persekolahan memberi rezeki berganda buat pengusaha bot di Pulau Perhentian, dekat sini apabila mampu meraih pendapatan lebih RM5,000 sehari.

Seorang pengusaha, Fikri Hakim Mohamad, 34, berkata, permintaan terhadap perjalanan ke pulau peranginan meningkat sekali ganda berbanding hari biasa sehingga dia perlu menambah bilangan bot yang beroperasi sepanjang cuti persekolahan ini.

“Sebelum ini, hanya dua buah bot beroperasi setiap hari tetapi bermula Khamis lepas, saya menambah bilangannya kepada lima buah bot bagi menampung kehadiran pelancong yang ke Pulau Perhentian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkhidmatan yang ditawarkan bukan hanya pakej bermalam malah saya membuat trip harian yang mana pelancong boleh datang ke pulau peranginan ini dan melakukan pelbagai aktiviti di air sepanjang satu hari,” katanya ketika ditemui di Pulau Perhentian.

Katanya, ramai ibu bapa mengambil peluang membawa anak-anak makan angin ketika cuti persekolahan dengan perjalanan harian dan harganya sangat berpatutan.

Menurutnya, harga yang ditawarkan kepada pengunjung bermula daripada RM88 hingga RM1,000 mengikut pakej yang dipilih pelanggan.

Fikri Hakim berkata, Pulau Perhentian mempunyai banyak tempat menarik yang menjadi tumpuan pengunjung termasuk penempatan penduduk di Pulau Perhentian Kecil dan penginapan-penginapan di sepanjang pesisir pulau itu.

Sementara itu, seorang pelancong. Sharifah Mardiana Sayed Abd Rahman, 44, yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, percutian dalam negara dan di pulau-pulau peranginan menjadi ‘trend’ masa sekarang.

“Percutian di pulau-pulau peranginan di dalam negara adalah lebih murah berbanding ke luar negara selain mampu menjana ekonomi setempat.

“Di samping itu, saya memilih Pulau Perhentian sebagai destinasi percutian bersama keluarga dan anak-anak bagi melihat keindahan alam semulajadi dan hidupan marin di sini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini