IPOH: Permukaan jalan dan ciri-ciri keselamatan di lokasi nahas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik semalam didapati berada dalam keadaan baik.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Zamri Mat Kasim berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati perabot jalan juga sempurna seperti penghadang jalan, chevron dan papan tanda.
Katanya, pihak forensik cawangan jalan dari Ibu Pejabat JKR kini berada di tempat kejadian untuk membuat kajian dan laporan.
“Pemantauan terkini di lokasi mendapati permukaan jalan dalam keadaan baik dan tiada lubang. Perabut jalan juga sempurna seperti penghadang jalan, chevron dan papan tanda,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 385 lampu jalan jenis solar akan dipasang di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli termasuk di lokasi nahas yang membabitkan bas persiaran dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Katanya, tender bagi pemasangan itu telah ditutup dan keputusannya dijangka diketahui pada bulan hadapan.
“Kawasan tersebut juga telah mendapat peruntukan untuk penurapan semula permukaan dan garisan jalan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, faktor jalan dan keadaan yang gelap dikenal pasti bukan punca kemalangan itu berlaku sebaliknya disebabkan oleh kelajuan kenderaan.
“Berdasarkan laporan awal polis, kemalangan itu disebabkan oleh kelajuan tidak munasabah oleh pemandu bas,” katanya. – UTUSAN