Ahli parlimen kerajaan rakan saya, pembangkang pun rakan saya’ - Utusan Malaysia

Ahli parlimen kerajaan rakan saya, pembangkang pun rakan saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANAN Speaker Dewan Rakyat bukan sekadar menjadi ketua mesyuarat tetapi benteng utama institusi Parlimen yang menjunjung tinggi disiplin, tatatertib dan integriti demokrasi.

Dalam menghadapi 222 ahli Parlimen dengan latar belakang dan kepentingan berbeza, TAN SRI JOHARI ABDUL mesti tegas tanpa berat sebelah bagi menjaga kelancaran persidangan dan memastikan perbahasan bermutu serta berfakta, bukan sekadar retorik politik kosong.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau tidak hanya berperanan memimpin di Dewan tetapi juga membawa misi lebih besar sebagai pengadil yang memikul amanah berat kerana setiap keputusan yang dibuat lahir dari nurani yang jernih.

Dengan ketabahan yang tinggi, beliau menegakkan maruah Parlimen sebagai pusat kuasa rakyat, memastikan demokrasi berjalan dengan penuh hormat dan berkesan.

Dalam wawancara yang dibantu jurufoto, FARIZ RUSADIO dan juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI, Johari turut mengulas peranan beliau sebagai Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-46 dan tambah baik yang dibuat bagi memastikan acara ini dapat mengangkat negara ke persada dunia.

AHLI PARLIMEN LEBIH MATANG

MINGGUAN MALAYSIA: Persidangan Dewan Rakyat baru habis, apa yang Tan Sri boleh kongsikan secara keseluruhan mengenai persidangan baru-baru ini?
Penyertaan daripada kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang, menunjukkan peningkatan. Walaupun ada sedikit kekecohan, suasananya jauh lebih tertib berbanding persidangan sebelum ini. Bilangan ahli yang diarahkan keluar juga berkurangan, dan penggunaan isu 3R (kaum, agama, raja) semakin menurun.

Ini adalah satu perkembangan positif. Namun begitu, saya sedar masih ada ruang untuk penambahbaikan. Insya-Allah, beberapa perubahan akan diperkenalkan dalam mesyuarat akan datang pada minggu pertama Disember, demi melancarkan perjalanan persidangan.

Antara fokus utama saya kini adalah merangka mekanisme pelaksanaan bagi persidangan Bajet akan datang, dengan memberi ruang lebih luas kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, khususnya berkait terus dengan kementerian. Struktur perbahasan sedang diteliti semula bagi memastikan ahli Parlimen diberi masa mencukupi untuk menyumbang secara bermakna.

Saya telah pun mempunyai beberapa cadangan awal dan sedang mempertimbangkan masa terbaik untuk melaksanakannya. Apa yang pasti, perubahan akan berlaku demi memperkukuh peranan Parlimen dan meningkatkan kualiti perbahasan.

Apa maksud Tan Sri ahli Parlimen kali ini lebih bertindak matang?
Saya lihat ahli-ahli Parlimen kali ini lebih matang dan bersedia. Perbahasan berlangsung lebih tersusun, berasaskan fakta dan kurang dipengaruhi emosi, satu peningkatan ketara berbanding sesi-sesi sebelumnya.

Hubungan Tan Sri dengan ahli Parlimen di luar Dewan?
Walaupun ada ketika saya terpaksa menegur dengan tegas, hubungan saya dengan mereka di luar Dewan tetap baik. Kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang, adalah rakan saya. Namun, apabila saya berada di kerusi Speaker, saya harus berpegang kepada tanggungjawab, bukan hubungan peribadi.

Apabila saya minta `duduk’, mereka harus duduk. Jika saya kata ‘berhenti’, maka berhentilah. Ini bukan soal ego, tapi soal menguruskan perjalanan Dewan dengan tertib dan mengikut masa diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Saya tidak boleh membiarkan masa terbuang dengan gangguan atau isu yang tidak produktif. Tanggungjawab saya memastikan perbahasan berjalan dengan baik, dan perkara substantif diselesaikan tanpa perlu berlarutan hingga lewat malam tanpa keperluan.

Kita boleh bergurau dan berkawan di luar Dewan. Tetapi di dalam Dewan, mesti ada protokol dan tatatertib yang dihormati. Saya duduk di kerusi Speaker bukan kerana saya lebih tinggi martabatnya, tetapi kerana institusi ini perlu dijunjung, dan tugas ini perlu dilaksanakan dengan penuh amanah.

Sukarkah membawa gelaran Speaker?
Sudah tentu tugas ini bukan mudah. Saya perlu berdepan dengan 222 ahli Parlimen yang datang daripada pelbagai latar belakang. Kepelbagaian ini menuntut saya memahami setiap individu dengan pendekatan berbeza.

Saya tidak boleh terlalu bergantung kepada Peraturan Mesyuarat dalam setiap situasi. Jika terlalu kerap dirujuk, perjalanan sidang akan terganggu. Maka, saya perlu mencari keseimbangan antara ketegasan, kefahaman situasi dan sifat rendah diri dalam mengendalikan Dewan.

Saya sedar, ramai ahli Parlimen ingin menonjol, itu lumrah ahli politik. Tambahan pula, ada lebih 26 kamera yang merakam sepanjang masa. Mereka sedar, setiap kata dan aksi mungkin sampai ke pengundi mereka.

Sebagai Speaker, saya sentiasa fokus dan peka. Saya dengar, saya faham, dan saya cuba beri ruang jika perlu asalkan tidak melampaui batas. Sebab saya juga ada tugas penting yang harus dilaksanakan dengan cermat.

Ini bukan jalan mudah tetapi saya hadapi dengan ketabahan, tanggungjawab dan rasa hormat kepada institusi yang saya wakili.

‘BUKTIKAN SAYA BERAT SEBELAH’
Ada pandangan yang mengatakan Tan Sri berat sebelah? Komen.
Jika ada yang mendakwa saya berat sebelah, maka kemukakanlah bukti. Saya pernah menegur, meninggikan suara, malah mengetuk tukul terhadap ahli Parlimen, baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang apabila keadaan memerlukan.

Namun, apabila keputusan saya tidak memihak kepada satu pihak, mereka mengatakan saya bias. Ironinya, pihak satu lagi juga mendakwa perkara yang sama. Perlu difahami, saya bukan pemain atau jurulatih sebaliknya pengadil. Keputusan yang saya buat berdasarkan situasi ketika itu, dengan pertimbangan sama ada sesuatu tindakan atau ucapan wajar atau tidak.

Seperti dalam kes mahkamah, apabila hakim buat keputusan, mesti ada yang menang dan kalah, itu tidak bermakna hakim itu bias. Jadi, mengapa apabila Speaker membuat keputusan, terus dilabel tidak adil? Itu satu penilaian yang tidak tepat.

Bagaimana pula dengan pegangan politik?
Saya memang ahli parti tetapi tidak memegang sebarang jawatan. Itu keputusan peribadi supaya saya dapat berlaku adil dan bebas dalam menjalankan tugas sebagai Speaker. Saya juga tiada niat menjadi pendamping politik atau mengejar jawatan lain. Matlamat saya kini hanya satu untuk menjadi Speaker yang baik, sekurang-kurangnya untuk penggal ini. Ini adalah amanah yang telah saya lafazkan di hadapan Dewan dan rakyat.

Ada kemungkinan kerajaan mempengaruhi keputusan dibuat Tan Sri di dalam Dewan?
Tidak. Tiada ruang pun untuk kerajaan ‘mengapung’ rakyat melalui saya. Semua keputusan adalah tanggungjawab saya sendiri sebagai Speaker. Malah, timbalan-timbalan Speaker juga tidak membuat sebarang keputusan tanpa merujuk kepada saya terlebih dahulu.

Setiap keputusan mesti berdasarkan fakta, latar belakang isu, nasihat yang lengkap serta pertimbangan menyeluruh, bukan pandangan sebelah pihak. Saya tidak boleh ambil mudah kerana keputusan saya bukan hanya memberi kesan kepada satu kumpulan, tetapi kepada seluruh negara dan akan kekal dalam sejarah.

Saya ada maruah, prinsip dan agama. Ini bukan tugas untuk dimain-main. Maka, setiap keputusan saya lahir daripada hati nurani yang bersih, dengan keyakinan itulah yang terbaik untuk negara.

REFORMASI DAN TANGGUNGJAWAB SEBAGAI SPEAKER
Antara perubahan dan tambah baik yang dilakukan?
Sepanjang menjadi ahli Parlimen, saya tidak pernah ponteng kerana saya juga Ketua Whip. Ia tanggungjawab besar yang saya pikul dengan penuh disiplin. Kecuali sekali ketika demam, saya sentiasa hadir dan mengundi, kerana bagi saya, Ketua Whip mesti menjadi contoh.

Apabila dilantik sebagai Speaker, saya datang dengan satu impian untuk memperbetulkan kelemahan dalam sistem Parlimen sejak sekian lama. Maka, antara pembaharuannya adalah penubuhan dan pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Khas. Ini adalah langkah penting untuk memperkukuh peranan Parlimen dalam semak dan imbang.

Usaha ini bukan baharu. Tan Sri Pandikar Amin dan Tan Sri Mohamad Ariff juga pernah cuba, tetapi berdepan kekangan. Namun bila saya diberi ruang, saya terus laksanakannya.

Reformasi besar kedua adalah menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA). Dahulu, akta ini gagal diluluskan walaupun banyak kali diusahakan. Saya simpan impian, jika diberi amanah, saya mahu ia menjadi kenyataan. Alhamdulillah, dengan sokongan Perdana Menteri dan kesepakatan Dewan, akta ini akhirnya diluluskan.

Kini, kita sedang bergerak ke fasa pelaksanaan. Ini bukan untuk kepentingan saya, tetapi demi kebebasan institusi Parlimen dan hak rakyat. Ia satu langkah besar keluar daripada cengkaman eksekutif, inilah reformasi institusi yang sebenar.

MEMBINA BARISAN PEMIMPIN MASA HADAPAN
Impian besar Tan Sri?
Saya mahu Parlimen dipenuhi wakil rakyat berwibawa yang berbahas matang dan berfakta, bukan terjebak dalam politik lama berasaskan perkauman dan sentimen lapuk. Negara perlukan pemimpin yakin yang mampu bawa masa depan lebih cerah.

Namun, kita masih tiada platform sistematik untuk melatih pemimpin sejak awal. Ramai jadi pemimpin secara kebetulan tanpa persediaan rapi. Jadi, saya mulakan inisiatif membina generasi pemimpin masa hadapan.

Antaranya, Sekolah Parlimen yang mengumpul pelajar cemerlang untuk belajar proses Parlimen dan berjumpa pemimpin. Program ini sangat berjaya sebagai pelaburan masa hadapan.
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pula dihidupkan semula dengan pendekatan baru iaitu 70 peratus latihan ketenteraan ringan untuk disiplin dan keberanian serta 30 peratus modul sivik untuk faham demokrasi dan Perlembagaan. Peserta juga dibentuk dengan latihan pertahanan diri untuk keyakinan dan kematangan.

Parlimen Belia pula kini di bawah Parlimen Malaysia, menjadi platform kukuh bagi pemimpin muda berumur 18 hingga 30 tahun bertanding, membincang isu dan hasilnya dibawa ke Parlimen sebenar. Impian saya, semua calon ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu melalui proses ini agar mereka datang dengan ilmu, kematangan dan tanggungjawab, bukan sekadar semangat kosong.

Jika tidak bersiap sekarang, kita akan ketinggalan. Persiapan menyeluruh penting untuk melahirkan pemimpin berkualiti demi masa hadapan negara.

THE GOOD, THE BAD, THE UGLY
Bagaimana dengan kehadiran ahli Parlimen kali ini?
Secara keseluruhan, kehadiran agak baik dan lebih baik berbanding persidangan sebelum ini. Walaupun saya belum sepenuhnya berpuas hati, ia tetap menunjukkan peningkatan positif.
Saya menilai berdasarkan siapa yang masih hadir sehingga akhir hari persidangan dan ramai yang kekal hingga tamat, serta aktif dalam perbahasan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

Ini petanda baik, terutama memandangkan sebelum ini ada isu kehadiran dan ponteng.

Mengenai pendedahan nama ahli Parlimen yang ponteng, kuasa itu ada pada saya dan saya sudah memberi teguran. Saya membahagikan ahli Parlimen kepada tiga kategori iaitu The good, mereka yang hadir, berdebat dengan matang, berfakta, dan memberi pandangan konstruktif.

The bad pula mereka yang sering mengeluh dan mengkritik tetapi kurang memberi sumbangan bermakna.

Sementara The ugly, mereka yang tidak hadir persidangan tapi sering mengkritik dan berceramah di luar. Ini yang paling merugikan. Walaupun begitu, saya lihat ahli Parlimen kategori ugly semakin berkurangan dan kehadiran semakin baik. Bagi saya, itu sudah satu perkembangan yang positif.

Adakah pembangkang benar-benar menjadi pengimbang yang baik?
Saya nampak ada peningkatan berbanding sebelum ini, walaupun kadang-kadang kurang koordinasi dan ketidaksefahaman, terutama antara ketua Whip.

Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) adalah platform terbaik untuk membincangkan isu secara mendalam kerana melibatkan kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang. Contohnya, dalam proses bacaan Rang Undang-Undang (RUU) 80B, setiap bil perlu dibaca dan JPK harus memberi komen sebelum bacaan kedua. Namun, masih kurang ahli JPK yang aktif dalam peranan ini.

Idealnya, perbincangan perlu dimulakan sebaik bil diletakkan di atas meja agar ada masa mencukupi sebelum bacaan kedua dalam empat hingga lima hari. Saya akan jelaskan perkara ini dalam peraturan syarat akan datang supaya semua ahli JPK lebih bertanggungjawab dan memanfaatkan peluang ini dengan baik.

TEGUR PM
Adakah Tan Sri akan menegur perdana menteri jika beliau membuat silap?

Saya pernah tegur beliau. Saya tidak pandang kedudukan beliau sebagai perdana menteri jika di dalam Dewan sebaliknya sebagai seorang anggota pentadbiran. Yang dalam pemikiran saya waktu itu beliau adalah ahli Parlimen, walaupun beliau Ketua Majlis.

Saya pernah tegur beliau, saya kata, “Yang Berhormat Tambun, berhati-hati terhadap isu yang dibangkitkan.”

Beliau mungkin masuk subjudis. Beliau kata, “ Saya faham Tan Sri.”

Saya kata, “ Yang Berhormat sila duduk, sila duduk dulu.” Beliau duduk.

Selepas itu saya sambung. Sebab saya ada tugas. Dan dia juga tidak boleh anggap, Aku Perdana Menteri.

PERHIMPUNAN AGUNG ANTARA PARLIMEN ASEAN (AIPA) KE-46
Apakah kelainan untuk AIPA kali ini sebagai tuan rumah?
Sebagai Presiden AIPA, saya bertanggungjawab sebagai ketua kepada semua pembicara. Dalam AIPA, jawatan saya dipanggil Presiden, berbeza dengan sidang kemuncak negara-negara yang menggunakan gelaran pengerusi atau perdana menteri.

Apabila menganjurkan Mesyuarat Agung (GA) AIPA, saya mahu pastikan ia yang terbaik dari dua aspek iaitu kualiti perbahasan dan isu-isu substantif yang dibincangkan serta mutu organisasi selain kemahiran mengendalikan mesyuarat.

Untuk itu, kali pertama saya sendiri hadir menyampaikan surat jemputan kepada para speaker dan delegasi negara, seperti menghantar jemputan perkahwinan secara langsung, memastikan penghormatan dan kesungguhan diberikan.

Bukankah kita ada teknologi yang memudahkan jemputan?
Saya mahu kelainan dengan menghantar surat jemputan secara peribadi, bukan sekadar mesej biasa. Ini menunjukkan penghormatan dan buat penerima lebih tergerak hati hadir. Saya sanggup datang jauh demi itu, kerana hubungan peribadi penting untuk selesaikan isu yang sukar dibincang secara rasmi, terutama dengan negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Thailand, Myanmar dan lain-lain.

Kelainan AIPA kali ini?
Untuk persidangan AIPA akan datang di Pusat Dagangan Dunia (WTC), saya gabungkan persidangan umum dengan pameran teknologi dan inovasi, melibatkan 80 hingga 90 syarikat tempatan berpotensi tinggi.

Delegasi dapat menghadiri sidang, lawat pameran dan seminar tematik, dari kerajaan hingga kewangan Islam dan tenaga lestari. Ini menjadikan Malaysia tuan rumah yang memberi makna sebenar, bukan sekadar acara formal.

Respons negara anggota sangat baik, contohnya Filipina hantar 70 delegasi berbanding biasa 16, Kemboja 60 orang, dan Indonesia dijangka lebih ramai. Ini hasil pendekatan saya menghantar jemputan peribadi kepada pemimpin mereka, membina keyakinan dan hormat.

Saya mahu Malaysia dikenang bukan saja sebagai tuan rumah tetapi sebagai negara yang menaikkan standard AIPA. AIPA juga platform menarik pelabur antarabangsa, yang menghargai rakyat Malaysia yang proaktif, berkomunikasi baik dan masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoni.

Malaysia juga selamat, bebas berjalan malam tanpa rasa takut—realiti yang diakui pelabur. Inilah Malaysia yang progresif, aman, dan bersedia jadi pemimpin serantau. AIPA bukan sekadar acara, tapi lambang kebolehan kita menganjur, memimpin, dan menarik dunia ke Malaysia.

Bagaimana mahu memastikan yang AIPA ini bukan sekadar resolusi sahaja?
Salah satu fokus AIPA kali ini adalah memberi ruang kepada anak muda melalui program Parlimen Belia, melibatkan ahli Parlimen berumur 40 tahun ke bawah untuk membincangkan masa hadapan ASEAN. Kita mahu mereka menjadi suara kepimpinan baharu, membentuk dasar dan hala tuju rantau ini.

Namun, ini tidak akan berjaya tanpa sokongan institusi akademik. Sebab itu, kita akan anjurkan Model AIPA pada 21 September, melibatkan 200 pelajar dari universiti seluruh ASEAN, diterajui oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ini kali pertama program ini diadakan di luar Jakarta, satu pengiktirafan terhadap peranan Malaysia dalam membina kepimpinan muda ASEAN.

Kita jangka lebih 1,000 peserta hadir sepanjang empat hari AIPA termasuk persidangan utama, seminar keusahawanan dan pameran teknologi. Fokusnya jelas untuk membina ASEAN yang mampan dan inklusif, dipimpin oleh generasi muda yang bersedia. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN