Rekod, suku akhir sasaran Izzah

Rekod, suku akhir sasaran Izzah

Nur Izzah Izzati Mohd Asri memikul misi besar negara ke Kejohanan Dunia 2025di Chile pada Oktober ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu basikal trek negara, Nur Izzah Izzati Mohd Asri meletakkan sasaran memecahkan rekod peribadi (PB) dalam acara pecut selain mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir acara Keirin pada Kejohanan Dunia 2025 di Chile, bermula 22 Oktober ini.

Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata, Izzah layak beraksi menerusi ranking dunia, bukannya wildcard, sekali gus menambah keyakinan pasukan bahawa pelumba berusia 22 tahun itu mampu mencipta kejutan.

“Setakat ini, latihan dia okey, berada dalam landasan yang baik menuju ke Kejohanan Dunia. Harapan kita sekurang-kurangnya dia dapat pecahkan rekod peribadi dan mara ke suku akhir acara Keirin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Harnizam bagaimanapun mengakui cabaran di pentas dunia sangat tinggi dengan kehadiran kuasa besar seperti Jepun dan United Kingdom.

Mengulas mengenai skuad pecut lelaki, beliau menjelaskan, faktor kos dan jarak perjalanan menjadi punca mereka tidak dihantar walaupun catatan masa hanya kurang 0.5 saat daripada sasaran yang ditetapkan Pengarah Teknikal, John Beasley.

“Kita sasarkan 43.9 saat, tetapi hanya catat 44.4 saat. Kalau pergi jauh semata-mata untuk satu pusingan kelayakan, ia tidak berbaloi,” jelasnya.

Dalam masa sama, Harnizam turut memaklumkan pelumba berpengalaman, Muhammad Shah Firdaus Sahrom kini dalam proses pemulihan kecederaan dan menunjukkan perkembangan positif menjelang Sukan SEA.

“Untuk Shah kita akan tengok dari semasa ke semasa.Setakat ini proses pemulihan dia dalam landasan yang terbaik.

“Itu John punya perancangan, tapi dari saya, saya rasa Shah boleh, dia sudah bersedia,” katanya.

Untuk rekod, Izzah kini dalam misi baru untuk mencipta catatan peribadi baharu serta memperbaiki kedudukan ketujuh yang dicapai dalam acara keirin edisi lalu di Denmark. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN