PETALING JAYA: Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menyifatkan pingat gangsa keirin wanita di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai pencapaian cukup bermakna selepas tiga tahun menanti untuk menaiki podium temasya itu.
Izzah menamatkan saingan final di tempat ketiga di Velodrom Izu, Shizuoka, semalam di belakang dua pelumba China, Yuan Liying dan Wang Lijuan yang masing-masing meraih emas dan perak.
“Rasanya luar biasa. Bertarung dengan antara atlet terbaik dunia untuk merebut kejuaraan sangat bermakna buat saya dan saya berharap dapat terus memperbaiki diri, terutama menjadi lebih bertenaga,” katanya selepas perlumbaan.
Lebih manis buat pelumba berusia 24 tahun itu, gangsa berkenaan merupakan pingat pertamanya di Sukan Asia selepas penampilan di Hangzhou 2022.
“Sudah tiga tahun sejak Sukan Asia terakhir di Hangzhou ini pingat pertama saya di Sukan Asia. Saya sangat bangga dengan diri sendiri dan berharap dapat terus berkembang,” katanya.
Izzah berkata, kejayaan itu turut hasil kerja keras bersama rakan sepasukan yang saling membantu meningkatkan prestasi masing-masing.
“Saya sudah berlatih keras bersama rakan sepasukan dan melakukan latihan yang lebih khusus. Kami berkembang bersama dan saya berharap rakan sepasukan saya juga dapat menaiki podium di sini,” katanya.
Dalam final itu, rakan sepasukannya, Nur Alyssa Farid menamatkan perlumbaan di tempat kelima untuk melengkapkan cabaran Malaysia dalam acara berkenaan.
Izzah terlebih dahulu memastikan tiket ke final selepas menduduki tempat kedua dalam saringan separuh akhir di belakang Lijuan, manakala Alyssa memenangi satu lagi kumpulan separuh akhir.
Pada pusingan pertama, Izzah muncul pemenang saringannya, manakala Alyssa menduduki tempat kedua dalam kumpulannya. – UTUSAN











