PETALING JAYA: Ketika ramai menjangka Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri akan memberi tumpuan kepada pencabar utama seperti bekas pemegang rekod dunia dari New Zealand, Ellesse Andrews, ratu berbasikal trek negara itu sebaliknya memilih untuk berlumba dengan masa sendiri dalam misi memburu pingat pada final acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita, Sabtu ini.
Bekas pemegang rekod Asia dengan catatan 1 minit 06.229 saat (s) itu percaya hanya dengan memperbaharui rekod peribadinya (PB) peluang untuk menaiki podium akan menjadi lebih cerah, meskipun bakal berdepan saingan sengit daripada Andrews yang memilik rekod, 1:04.697s serta pelumba Ireland Utara, Emma Jeffers (1:07.229s).
“Bagi saya, saya fokus kepada PB, kemudian kalau kita buat yang terbaik, insya-Allah pingat akan datang selepas itu. Saya memang nak buat yang terbaik untuk pecahkan PB saya.
“Sekurang-kurangnya saya harap dapat buat bawah 10.5 saat untuk flying dan kalau acara 1km, mungkin seminit enam saat ke bawah juga,” katanya.
Pendekatan itu turut menggambarkan keyakinan pelumba berusia 22 tahun tersebut yang enggan membiarkan tekanan memburu pingat mengganggu fokus, walaupun Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meletakkan acara 1km ujian masa wanita sebagai antara sandaran utama menghadiahkan pingat di Glasgow.
Sebelum ini, PKBM menyasarkan dua pingat menerusi skuad berbasikal trek, dengan Nurul Izzah menjadi pertaruhan utama dalam acara 1km ujian masa wanita, manakala satu lagi sandaran diletakkan kepada Datuk Azizulhasni Awang atau Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara keirin lelaki.
“Kami sekarang lebih fokus kepada latihan khusus, terutama dari segi kelajuan dan kuasa. Secara keseluruhannya keadaan saya okey dan kami sudah bersedia dari segi fizikal serta mental untuk Sukan Komanwel. Kami hanya perlu kekal konsisten sehingga hari pertandingan nanti,” katanya.
Nurul Izzah yang membuat penampilan kedua di temasya Komanwel selepas Birmingham 2022 turut mengakui England dan Wales memiliki beberapa pelumba pecut yang berbahaya, namun enggan menjadikan catatan masa lawan sebagai ukuran kejayaannya.
“Saya tahu ada beberapa pencabar yang kuat, terutama dari England dan Wales. Tetapi bagi saya, untuk buat PB saya hanya fokus kepada diri sendiri berbanding memikirkan catatan pelumba lain. Saya cuma mahu memperbaiki apa yang perlu dan akan lakukan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN










