Cherating lenyap daripada peta pelancongan

Cherating lenyap daripada peta pelancongan

DULU Pantai Cherating di Kuantan, Pahang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia, namun pusat peranginan terkenal dengan jolokan ‘Kampung Mat Saleh’ itu semakin suram.-MINGGUAN/MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pantai Cherating yang suatu ketika dahulu antara lokasi pelancongan terkemuka di negara ini dan menjadi tumpuan dunia kerana keindahannya, kini semakin suram tanpa kehadiran pelancong ke kawasan berkenaan. 

Keadaan tersebut bukanlah baharu, tetapi sudah lebih 10 tahun berlaku sehingga menyebabkan terdapat resort dan hotel terpaksa ditutup dan gulung tikar. Malah lebih membimbangkan, ada juga premis bangunan menjadi tinggalan usang yang menakutkan.

Meskipun Pantai Cherating sebelum ini terkenal dengan aktiviti luncur air yang menggamit kedatangan pelancong luar, tetapi kini ia dipandang sepi kerana ketiadaan promosi.

Bermula tahun 1980-an, Kampung Inn di Pantai Cherating Lama cukup terkenal dengan jolokan ‘Kampung Mat Saleh’ ekoran kedatangan ramai pelancong asing, namun kini lokasi itu suram dan diancam pula masalah hakisan pantai.

Keadaan itu turut menyebabkan peniaga kecil tempatan dalam kalangan orang kampung turut menerima tempias kehilangan pendapatan. 

Ketika ini, Pantai Cherating hanya bergantung sepenuhnya kepada acara ataupun aktiviti dianjurkan bagi memeriahkan dan menarik kehadiran pelancong ke situ, jika tidak lokasi itu ibarat hidup segan, mati tidak mahu.

Pemilik Chalet di Kampung Inn, Tunku Zaza Tunku Ismail berkata, Cherating dahulunya cukup terkenal pada era 80-an apabila ramai pelancong asing dari seluruh dunia datang bercuti ke sini.

“Bagi yang tidak tahu, Cherating merupakan salah satu pantai yang paling cantik di Semenanjung. Namun, agak pelik kawasan ini tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan negeri.

“Tak perlu masuk jauh ke dalam kampung Cherating, dari luar saja sudah nampak terbiar apabila sukarnya mencari simpang masuk ke kawasan tersebut kerana lokasinya yang agak berbahaya di selekoh dan pada waktu malam pula gelap tanpa pencahayaan yang mencukupi. 

“Tiada apa-apa yang menarik perhatian di simpang itu untuk memudahkan orang perasan. Sebaik sahaja masuk, jalan gelap dan tiada papan tanda yang jelas,” katanya kepada Mingguan Malaysia

Luah Tunku Zaza, lebih menyedihkan dan mengecewakan, kawasan Cherating tidak mempunyai mesin pengeluaran wang automatik (ATM), tidak cukup kedai serbaneka dan restoran kecuali gerai kecil yang beroperasi tidak menentu. 

“Terutamanya ketika cuti umum, amat sukar untuk mendapatkan makanan. Tetapi ketika musim cuti seperti Hari Merdeka pula, terlalu banyak kereta dan motosikal menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk untuk masuk dan keluar.

“Masalah air yang tak berkesudahan, jalan yang bertampal-tampal tidak rata dan berlubang. Tidak cukup tandas awam dan tempat buang sampah yang sesuai di sepanjang pantai. Setiap hujung minggu, boleh dilihat sampah sarap dibuang merata-rata oleh pengunjung.

“Bagi pemilik tanah pula, caj yang tinggi dikenakan untuk tong sampah dan disebabkan kurangnya pelancong yang datang, sukar untuk menampung kos tersebut,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga bangunan kerajaan terbiar dan rosak tidak terjaga, bersemak serta menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian. Situasi itu turut menambahkan nyamuk dan memburukkan lagi keadaan kampung.

“Sangat menyedihkan melihat keadaan Cherating yang dahulunya terkenal sebagai salah satu pantai tercantik dan meriah kini menjadi begitu terbiar.

“Saya benar-benar berharap kerajaan negeri melakukan sesuatu bagi memulihkan Cherating. Bukan perkara remeh seperti menukar nama kepada “Cerating” daripada “Cherating”. Nama asal Cherating mempunyai sejarah tersendiri, dan menukar nama sahaja tidak membawa apa-apa makna atau perubahan sebenar,” katanya.

 


KEADAAN gerai sekitar Pantai Cherating, Kuantan, Pahang yang sepi kehadiran pengunjung.

TANGGUNG KERUGIAN

Bagi pengusaha tapak meletak kenderaan, Abu Talib Ali, 61, berkata, semakin ramai peniaga menutup perniagaan mereka ekoran terpaksa menanggung kerugian berlarutan.

Jelasnya yang mesra disapa Pak Abu, ketiadaan tarikan pelancongan mengakibatkan kekurangan pengunjung yang menyebabkan peniaga tidak dapat menampung kos untuk meneruskan perniagaan mereka.

“Tolonglah kerajaan negeri dan pihak berkaitan beri tumpuan sikit kepada kami di Pantai Cherating. Cuti sekolah pun tiada orang datang. Saya setiap hari tunggu di sini, takda orang. Tiada siapa nak berniaga kalau rugi,” luahnya sedih.

Katanya, dia hanya mengutip kurang RM30 sehari melalui bayaran parkir semasa hari bekerja, namun ia tidak jauh berbeza ketika musim cuti persekolahan.

Lebih menyedihkan, dakwanya, dia terpaksa menutup kedai makan yang dibuka bersama isterinya sejak empat tahun lalu kerana tidak mampu menanggung kerugian.

HAKISAN, POKOK RHU, KELAPA TUMBANG CEMARI PANTAI CHERATING LAMA

Malu terhadap pelancong luar negara apabila pokok rhu dan kelapa tumbang dibiarkan mencemari persekitaran Pantai Cherating Lama sejak tiga bulan lalu.

Penduduk Kampung Inn yang ingin dikenali sebagai Sukiam berkata, keadaan itu berlaku sejak Disember tahun lalu ekoran hakisan melanda pantai.

“Sejak hakisan itu, banyak pokok rhu dan kelapa tumbang di pantai ini, mana yang boleh kita bersihkan, memang kita ambil buang. 

“Tetapi pokok tumbang yang besar, mana mampu saya dan penduduk di sini angkat, ia mencemari keadaan di pantai ini yang sering dikunjungi pelancong khususnya dari luar negara.

“Bagi saya, saya malu melihat keadaan ini yang kesannya turut menggangu keselesaan pelancong yang hadir ke pantai ini untuk mandi,” katanya yang lebih 10 tahun tinggal di Kampung Inn.

SUKAN BOLA SEPAK PANTAI DILUPAKAN

Belia Kampung Cherating di sini berharap agar sukan bola sepak pantai dapat dihidupkan kembali sebagai mana sebelum ini kerana penganjuran aktiviti itu juga makin berkurangan dan lesu.

Ahmad Fazil Abdul Muim, 37, berkata, suatu masa dahulu sukan bola sepak pantai cukup terkenal di Pantai Cherating apabila ramai pemain dari luar datang untuk menyertai pertandingan. 

“Sebelum ini sukan bola sepak pantai pernah menjadi salah satu acara dalam Sukan Malaysia (Sukma). Malah Kampung Cherating sendiri memiliki kira-kira tiga hingga empat orang wakil Malaysia ke peringkat antarabangsa untuk sukan bola sepak pantai ini,” katanya.

Ahmad Fazil berharap agar pihak berwajib cakna dengan kewujudan sukan bola sepak pantai yang dilihat mampu menarik pengunjung dari seluruh negara berkunjung ke Pantai Cherating.

“Penganjuran bola sepak pantai akan menarik lebih ramai pengunjung ke Pantai Cherating dan dalam masa yang sama boleh meningkatkan lagi ekonomi penduduk setempat,” katanya.

 

KERAJAAN Negeri Pahang perlu menubuhkan Majlis Tindakan Memajukan Cherating bagi mengangkat kembali kawasan itu sebagai lokasi pelancongan terkemuka di negeri, negara dan seluruh dunia.

TUBUH MAJLIS TINDAKAN MAJUKAN CHERATING

Pengerusi Persatuan Anak-Anak Beserah, Datuk Nazrul Izad Mohd. Arsad berkata, sebagai anak tempatan di sini, beliau sedih melihat keadaan Cherating pada ketika ini yang mana jika dibiarkan begitu sahaja, kawasan itu dibimbangi hilang dalam kamus pelancongan negara.

Katanya, kerajaan Pahang menerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri perlu menubuhkan Majlis Tindakan Memajukan Cherating bagi mengangkat kembali kawasan itu sebagai lokasi pelancongan terkemuka di negeri, negara dan seluruh dunia. 

Menurutnya, ia perlu anggotai Majlis Pelancongan dan Budaya Negeri Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Cherating, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil hotel, motel serta inap desa di Cherating.

“Cherating yang dahulunya terkenal di mata dunia sebagai aset pelancongan negara memerlukan perubahan yang drastik. Kerajaan mesti menganjurkan festival bertaraf dunia untuk kembali memberi nafas baharu. 

“Majlis tindakan ini perlu menitikberatkan tentang infrastruktur dan penganjuran acara di peringkat antarabangsa. Ia perlu memohon dana dari pada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk Cherating menjadi terkenal kembali dan ke arah zon bebas cukai,” katanya.

Menurutnya, Cherating juga perlu melaksanakan pelbagai pertandingan membabitkan penyertaan peserta dari seluruh dunia seperti memancing dan Festival Cherating sebagai acara tahunan.

“Saya ingin melihat satu hari nanti Cherating seperti Pulau Langkawi banyak tanah-tanah kerajaan di rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pejabat hutan boleh dijadikan pelancongan seperti rumah rakit di Kuala Sungai Cherating akan menjadi tarikan dunia

“Sekiranya majlis tindakan ini tidak diwujudkan akan menyukarkan proses membuat keputusan di peringkat jabatan kerajaan,” katanya.-MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN