PETALING JAYA: Mencecah lebih satu juta tontonan di media sosial, video tarian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih menjadi bualan sehingga kini.
Menerusi video yang dikongsikan pada Jumaat, memaparkan Saddiq bergandingan dengan penyanyi, Bella Astillah, menari sambil memperagakan pakaian tradisi suku kaum di Borneo sempena Pesta Keamatan dan Hari Gawai.
Apa yang lebih mencuit hati, ahli politik itu juga tidak menafikan bahawa tariannya kaku ala-ala robot sehingga perlu dilakukan berkali-kali.
“Dari petang sampai malam, kena ambil semula video banyak kali sebab saya kaku. Nasib baik ada Bella Astillah kurang sedikit kaku.
“Tak tahu nak ketawa atau menangis bila tengok semula. Tak apa, izinkan saya fokus dalam parlimen sahaja,” tulisnya menerusi hantaran di aplikasi X.
Dalam pada itu, Saddiq menerima lebih 300 komen yang rata-ratanya geli hati melihat keletah dua sejoli itu.
Walaupun tidak pernah mengesahkan sebarang hubungan istimewa dengan Bella Astillah, namun ramai yang membuat spekulasi bahawa Saddiq rela menari demi cintanya kepada wanita asal Sabah itu.
“Mungkin ini penangan cinta, politik pun tak boleh lawan. Gembira untuk kalian berdua,” tulis satu komen.
“Maaf YB, walau ada Bella, saya masih nampak kaku itu,” kata komen yang lain.
“Dia dalam misi menawan pujaan hati, biarkan,” sokong seorang pengguna. -UTUSAN