‘Mahu kekal 32-0 atau 40-0’

‘Mahu kekal 32-0 atau 40-0’

ARIFFIN DERAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

HUJUNG bulan lalu, Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu menyelesaikan pelantikan Jawatankuasa Hariannya bagi sesi 2025-2027 yang bertanggungjawab memastikan gagasan ‘Teguh Memimpin’ direalisasikan selepas parti itu berjaya ‘Teguh Mempertahan’ pentadbiran negeri dengan kemenangan selesa 32-0 pada pilihan raya negeri lalu.

Wartawan UTUSAN MALAYSIA, Mohd. Shahriza Abdullah mendapatkan Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, DATUK ARIFFIN DERAMAN yang dilantik semula memegang jawatan berkenaan untuk mengulas mengenai cabaran dihadapi Pas Terengganu selain hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), iaitu rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat itu turut berkongsi pandanganya berhubung kenyataan Pas Terengganu mempunyai pemimpin berpotensi menjadi calon Perdana Menteri jika PN menang pilihan raya umum akan datang.

UTUSAN: Selepas hampir dua penggal mentadbir Terengganu, sejauh mana gagasan besar Pas dengan slogan ‘Teguh Memimpin’ direalisasikan?

ARIFFIN: Gagasan ini terus direalisasikan hingga ke hari ini. Ia bukan sekadar ungkapan politik tetapi menjadi panduan dasar dalam melaksanakan manifesto Kerajaan Negeri Terengganu. Kini, kita dapat melihat gagasan ini masih berada di landasan yang betul. Ia menjadi teras kepada keupayaan kerajaan untuk terus mentadbir negeri dengan penuh istiqamah dan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Sebenarnya, di sebalik slogan Teguh Memimpin, matlamat utama kami adalah ingin memastikan rakyat Terengganu hidup dalam suasana bahagia dan sejahtera. Kami juga sedar bahawa tidak semua dasar yang dilaksanakan disukai semua pihak, namun setiap keputusan dibuat dengan niat untuk membawa manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

Cabaran mempertahan kemenangan selesa Pas di Terengganu pada pilihan raya negeri akan datang?

Kemenangan ini menjadi tanda aras dan panduan kepada jentera kami untuk terus bekerja keras memastikan kejayaan serupa dapat dikekalkan. Seperti sebelum ini, kami menetapkan sasaran 32-0 di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 8-0 di peringkat Parlimen. Alhamdulillah ia berjaya direalisasikan.

Untuk pilihan raya akan datang, matlamat kami jelas iaitu mengekalkan keputusan 32-0 atau 40-0. Insya-Allah, Pas Terengganu bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus bekerja dengan penuh komitmen bagi mempertahankan kemenangan tersebut.

Dakwaan mengatakan Pas Terengganu tidak boleh dikritik atau ditegur walaupun ada antaranya membina?

Dakwaan ini tidak benar. Sebagai kerajaan, kami sentiasa terbuka menerima teguran termasuk daripada rakyat sendiri. Contohnya, dalam isu kenaikan tarif air baru-baru ini. Terengganu antara negeri pertama mengumumkan pelarasan harga tersebut dan ia menimbulkan keresahan rakyat. Apabila teguran disuarakan melalui media sosial dan disampaikan oleh wakil di peringkat akar umbi, kami mendengar dan meneliti pandangan tersebut dengan serius.

Hasilnya, kerajaan mengambil tindakan segera dengan menyalurkan subsidi tambahan sebanyak RM24 juta bagi meringankan beban pengguna. Ini membuktikan kami menerima teguran dengan hati terbuka dan menjadikannya asas kepada penambahbaikan dasar.

Kami sentiasa bersedia menerima pandangan rakyat dengan cara yang positif.

Sebagai contoh, dalam pelaksanaan dasar berkaitan syariah dan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), hasil teguran rakyat telah membawa kepada perbincangan semula di peringkat kerajaan negeri. InsyaAllah, beberapa penambahbaikan akan diumumkan tidak lama lagi.

Persepsi bahawa Bersatu hanya menumpang kekuatan Pas di Terengganu?

Sebenarnya, semua pihak menyedari bahawa Pas telah lama bertapak kukuh di Terengganu dan memiliki jentera yang tersusun serta kekuatan akar umbi mantap. Namun dalam konteks PN, kekuatan tidak dinilai secara negeri semata-mata, tetapi di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Di Terengganu, memang diakui jentera Pas lebih besar dan berpengalaman tetapi Bersatu juga mempunyai kekuatan tersendiri dalam konteks nasional. Oleh itu, hubungan Pas dan Bersatu bukanlah dalam bentuk ‘menumpang’, sebaliknya ia satu bentuk kerjasama saling melengkapi.

Pandangan bahawa Pas Terengganu mempunyai pemimpin yang berpotensi menjadi calon Perdana Menteri jika PN menang PRU akan datang?

Soal ini saya serahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan kepemimpinan Pas dan PN di peringkat Pusat. Kami di Terengganu tidak mahu mendahului perkara ini. Namun tidak dinafikan bahawa memang terdapat beberapa tokoh kepemimpinan dari Terengganu yang berpotensi untuk diketengahkan pada peringkat lebih tinggi sama ada sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Kabinet.

Yang penting bagi kami sekarang adalah memastikan kemenangan terlebih dahulu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Kami di peringkat negeri sentiasa menyokong apa juga keputusan yang dibuat oleh Pas Pusat dan PN demi kepentingan rakyat serta kestabilan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN