MUKADIMAH
BAHANG kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kian terasa hangatnya. Di pihak Perikatan Nasional (PN) juga, pelbagai persiapan serta strategi telah diatur untuk mendepani PRK tersebut. Tekanan pastinya amat dirasai oleh calon PN ketika ini, Abidin Ismail, 56, kerana beliau bertanding untuk mempertahankan kerusi berkenaan daripada dirampas oleh calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin.
Wartawan Utusan Malaysia, Iswan Shafiq Isa baru-baru ini sempat mengikuti kempen Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal itu dan menemubual beliau yang lebih mesra disapa sebagai Abang Abidin.
UTUSAN: Bagaimana perjalanan kempen Abang Abidin setakat hari ini?
ABIDIN: Alhamdulillah, penerimaan dan respon daripada kalangan pengundi di Sungai Bakap termasuk kaum Tionghua dan India amat baik. Mereka juga beri ‘signal’ yang positif kepada Perikatan Nasional (PN).
UTUSAN: Sudah berapa banyak kawasan atau pengundi yang disantuni setakat ini?
ABIDIN: Masuk hari kelima atau keenam (berkempen) ini rasanya kita dah ‘cover’ (capai liputan) hampir separuh (50 peratus). Insya-Allah, dengan baki kira-kira seminggu lebih hari berkempen yang ada ini, kita akan terus giatkan usaha kita (mendekati seramai mungkin pengundi).
UTUSAN: Anda lebih dikenali dalam kalangan pengundi sebagai pembantu khas kepada arwah Abang Zam (Nor Zamri Latiff). Apakah itu memberi kelebihan kepada?
ABIDIN: Sembilan bulan saya berkhidmat sebagai pembantu kepada beliau. Banyak pengalaman (ditimba) dengan beliau. Kalau nak diikutkan, kami sebenarnya dah bersama (dalam Pas) sejak hampir 30 tahun lalu. Bermula sebagai AJK (Ahli Jawatankuasa) Pemuda (Pas Kawasan) Nibong Tebal dan seterusnya.
Saya juga selalu turun (padang) bersama beliau hingga ke seluruh negara jika berlaku sebarang bencana seperti banjir atau rebut sebelum ini. (Terakhir ialah) banjir yang melanda Sungai Duri (di Sungai Bakap) sebelum PRN (Pilihan Raya Negeri) tahun lepas. Jadi, mungkin juga (beri kelebihan).
UTUSAN: Isu gangguan bekalan air antara masalah paling ketara di Sungai Bakap dan telah berlarutan untuk tempoh yang agak lama iaitu sehingga enam tahun. Jika diberi mandat sebagai wakil rakyat, apa kaedah penyelesaian yang akan digunakan bagi membantu penduduk di sini?
ABIDIN: Sebenarnya, ‘ayaq’ (air) ini dalam satu hari kena ada (terima) 1,300 MLD (juta liter sehari atau JLH), tapi, ia dapat tampung 800 MLD sahaja. Isunya melibatkan ‘pressure’ (tekanan yang merujuk kepada air) serta ayaq tak ada terutamanya di Mukim 5, Taman Widuri serta beberapa kawasan sekitarnya.
Ini (isu air) juga rentetan daripada (perjuangan) Abang Zam. Jadi, saya akan bawa isu ini kepada pihak yang berkaitan (jika diberi mandat)
UTUSAN: Akhir sekali, apa harapan kepada pengundi di Sungai Bakap?
ABIDIN: Saya merayulah kepada semua termasuk ibu bapa yang ada anak-anak muda supaya keluar mengundi awal. Pastikan keluar (mengundi) seawal mungkin. – UTUSAN










