BENARKAH DAP berubah ketika bersama UMNO membentuk Kerajaan Perpaduan? Kepada wartawan Mingguan Malaysia, JOHANNA MUMTAZ WANPA dan FATIN NORIZATI MAT ISA, Bendahari Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin menjelaskan perkara ini termasuk pendirian Pemuda terhadap prestasi kerajaan Madani.
UTUSAN: Apa pendirian Pemuda terhadap kerajaan?
SHAHRUL NASRUN: Contoh paling ketara iaitu Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang jelas tidak memihak kepada orang Melayu. Sekiranya tiada pemimpin Barisan Nasional (BN) bersuara, tidak mustahil tanah milik Melayu terhakis.
Walaupun UMNO merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, Pemuda terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang termasuk menyuarakan pandangan sekiranya terdapat polisi yang tidak menguntungkan Bumiputera, orang Melayu dan agama Islam.
Komen kerjasama UMNO dan DAP
Sejak lebih tiga tahun bersama Kerajaan Perpaduan, majoriti pemimpin UMNO berpandangan DAP berbeza berbanding sebelum ini. Sebagai pemimpin UMNO, kita berusaha membersihkan imej DAP supaya orang Melayu dapat menerima parti itu.
Namun hakikatnya, tiada mana-mana pemimpin DAP melakukan perkara sama. Sebaliknya, kenyataan dikeluarkan bersifat sinis dan ada kalanya menyentuh sensitiviti sehingga melangkaui garis merah seperti hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam serta kedaulatan Raja Melayu.
UMNO tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum. Sekiranya kami kembali memperoleh sokongan majoriti membentuk kerajaan, semua pihak tidak perlu bimbang kerana kita akan pastikan tiada kaum ditindas.
Hala tuju parti menjelang PRU16?
Pemuda UMNO memperkukuh parti bermula daripada peringkat cawangan, bahagian sehingga ke Parlimen selaras pendirian Presiden yang menetapkan parti akan bergerak solo menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Kita menilai semula potensi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah dimenangi BN pada pilihan raya terdahulu. Ia termasuk memperbaiki faktor tsunami politik yang menyebabkan parti kehilangan banyak kerusi termasuk di kawasan Felda dan luar bandar.
Sejauh mana rakyat boleh merasai kewujudan Pemuda UMNO?
Pemuda tidak boleh menilai diri bagus jika tidak dikenali. Peluang perlu dimanfaatkan dengan mendekati masyarakat dan menyuarakan suara rakyat. Politik bergantung kepada angka dan sokongan pengundi. Contohnya di
Indonesia, parti memastikan sekurang-kurangnya 10,000 pengundi mengenali calon di setiap kawasan Parlimen.
Bagaimana UMNO meyakinkan generasi Z?
Fahami realiti generasi muda dalam memilih parti. UMNO berpengalaman luas dalam pembentukan polisi, pentadbiran dan pengurusan negara. Namun, generasi kini terpengaruh media sosial. Manfaatkan platform ini untuk menerangkan kepentingan politik, termasuk peluang pekerjaan, gaji bermaruah, pemilikan rumah dan pendidikan. Jika tidak, golongan muda akan terus menjauh daripada politik. – UTUSAN










