Buat apa hendak terus meratap kesedihan? Tidak perlu - Fazura - Utusan Malaysia

Buat apa hendak terus meratap kesedihan? Tidak perlu – Fazura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon dan penyanyi popular, Nur Fazura, mendedahkan, dirinya bukanlah seseorang yang gemar mendengar lagu-lagu melankolik atau terlalu emosional.

Menurut Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, dia lebih memilih untuk mendekati kehidupan dengan semangat yang positif dan membina, berbanding terus larut dalam kesedihan yang berpanjangan.

Walaupun mengakui dirinya tidak terkecuali melalui fasa-fasa sukar dalam kehidupan, Fazura percaya bahawa setiap ujian harus dijadikan pemangkin untuk bangkit dan bukannya alasan untuk terus meratap.

“Setiap manusia itu mustahil untuk sentiasa sahaja rasa gembira sepanjang masa, tidak ada ujian dan sebagainya. Saya pun dah melalui fasa-fasa tersebut.

“Tapi penting untuk kita tak fokus kepada kejatuhan itu ataupun ujian itu. Kita fokus kepada ke depan dan bangkit, dan teruskan dengan positif dan berhati-hati,” katanya.

Fazura berkata demikian ketika ditemui media sempena pelancaran muzik video terbaharunya yang berjudul Luar Biasa, di ibu negara, baru-baru ini.

Bagaimanapun, sebagai manusia biasa, Fazura tidak menafikan bahawa ada ketika dia turut menikmati lagu-lagu berunsur sedih atau melankolik.

Malah, dia juga menyatakan minatnya terhadap penyanyi terkemuka antarabangsa, Adele, yang disifatkannya sebagai seorang penyanyi dan pencipta lagu yang sangat berkredibiliti dan disegani ramai.

Cuma, Fazura secara peribadi berpendapat bahawa mendengar lagu sedih secara berterusan boleh memberi kesan negatif terhadap emosi seseorang.

“Saya juga gemar dengar lagu Adele, kadangkala ketika bersolek. Tetapi bagi saya, seorang wanita atau individu yang kuat tidak sepatutnya terlalu kerap mendengar lagu-lagu seperti itu.

“Kita tidak sedar bahawa lama-kelamaan, kita akan hanyut dan terus mencari kesedihan itu,” katanya.

Tambah Fazura, bukan semua kesedihan perlu diratapi secara berpanjangan, lebih-lebih lagi menerusi medium lagu.

“Apabila kita selalu dengar lagu sedih, ia seolah-olah kira akan meratap perasaan patah hati itu. Jadi, buat apa hendak terus meratap? Tidak perlu.

“Sebab itu saya berpendapat adalah lebih penting untuk bangkit. Bangkit itu luar biasa,” katanya.

Terus bersemangat

Sementara itu, ketika ditanya adakah dirinya akan terus menghasilkan lagu yang menjurus kepada tema positif selepas ini, Fazura tidak menolak kemungkinan menghasilkan lagu berkonsep patah hati.

Namun, katanya, hala tuju sesebuah lagu perlu ditentukan dengan berhati-hati agar tidak memberi impak negatif terhadap emosi pendengar.

“Ada juga perancangan untuk menghasilkan lagu patah hati. Tetapi kalau lagu itu terlalu sedih dan saya sendiri dengar berulang kali, saya risau lama-lama hati sendiri yang makin patah. Kalau terlalu meratap melalui lagu, kita akan terus hidup dalam kesedihan itu,” katanya sambil ketawa kecil.

Menurut Fazura, walaupun pasaran di Malaysia lebih cenderung terhadap lagu-lagu melankolik, dia bagaimanapun tetap memilih untuk menyampaikan mesej yang membina dan menyuntik semangat kepada pendengar.

“Memang benar, secara umumnya manusia suka lagu yang penuh perasaan. Contohnya ketika memandu dalam hujan, lihat titisan air di cermin, kita pun mula rasa sayu. Tetapi sampai bila kita mahu melayan perasaan begitu? Hidup perlu diteruskan,” ujarnya.

Selain itu, Fazura juga percaya bahawa seni bukan hanya sekadar medium hiburan, tetapi juga ruang untuk menyampaikan nilai dan mesej yang memberi kesan kepada kehidupan.

Justeru, katanya, dia tidak mahu karya seninya menjadi penyebab seseorang terus terperangkap dalam kesedihan yang tiada penghujung.

“Setiap hari apabila bangun, saya lebih suka dengar lagu yang memberi semangat, yang buat kita rasa kuat dan berdaya.

“Lagu-lagu seperti itu yang saya mahu hasilkan, bukan sekadar sedap didengar, tetapi memberi makna kepada yang mendengar,”jelasnya.

Luar Biasa

Dalam pada itu, berbicara mengenai penghasilan single terbaharu berjudul Luar Biasa, cerita ibu kepada Nur Fatima Aisya ini, lagu tersebut merupakan kolaborasinya bersama komposer Indonesia, Ade Govinda.

Fazura, yang turut menulis bahagian lirik lagu ini bersama Veron Savanoah, turut mengakui teruja diberi peluang untuk terlibat dalam projek yang sarat dengan nilai positif ini.

“Saya sangat tersentuh dengan lirik ‘Jatuh itu biasa, bangun itu luar biasa’. Ia benar-benar menggambarkan hakikat hidup kita semua ada perjuangan sendiri.

“Apa yang penting adalah semangat untuk bangkit demi diri sendiri dan orang tersayang. Dengan niat yang baik dan keyakinan kepada Allah,kita mampu menghadapi dengan tenang,” jelasnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN