PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bukan bermaksud mengorbankan dasar pendidikan negara atau mengiktiraf sistem lain.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, dasar pendidikan negara tidak berubah, dengan syarat utama masuk ke IPTA masih berasaskan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Apabila (kerajaan) membuat keputusan membuka ruang, bukan memberi pengiktirafan (kepada sistem lain) kita tidak akan berubah, kita tidak akan mengiktiraf sistem lain.
“Sama ada pelajar daripada aliran mana sekalipun, sekolah itu sekolah antarabangsa ke, SMPC (Sekolah Menengah Persendirian Cina), sekolah agama, yang tidak mengikut kurikulum kebangsaan, maka pelajar kena ikut sistem kita,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di sini semalam.
Keputusan tersebut telah dipolemik sehingga mencetuskan perbahasan mengenai sistem pendidikan negara.
“Perbahasan-perbahasan (timbul) berkaitan dengan sistem pendidikan sebagai contoh apabila kita melakukan ini, maka kita mengorbankan sistem pendidikan kita. Ini antara yang berlaku,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan ke IPTA melibatkan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan SMPC, namun ia telah dimanipulasi beberapa pihak termasuk parti politik yang mendakwa kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM kekal menjadi syarat wajib bagi kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) termasuk untuk pelajar lepasan di luar
sistem pendidikan kebangsaan.
Ia terpakai kepada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri yang mempersetujui beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) untuk mengikuti program pengajian di IPTA.
“SPM wajib walaupun dia (pelajar) belajar aliran itu. Sebab penilaian UPU (sistem UPUOnline) kita ialah berdasarkan kepada keputusan SPM. – UTUSAN










