Ibu enam anak ke Anjung Singgah elak jadi mangsa dera suami

Ibu enam anak ke Anjung Singgah elak jadi mangsa dera suami

SYIRA (kiri) berbual bersama Nordina Haron (dua dari kiri) di Anjung Singgah YKN di George Town, Pulau Pinang. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dua kali menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan tidak mampu membayar sewa rumah selepas suaminya ditahan atas kesalahan mencuri, seorang ibu enam orang anak, nekad mencari perlindungan.

Syira (bukan nama sebenar), 29, menumpang teduh di Anjung Singgah di sini, selepas mendapat nasihat daripada pegawai Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Barat Darat yang menguruskan kesnya.

“Keluarga tahu saya ada di sini (Anjung Singgah) dan bapa mentua saya juga ada beberapa kali datang ke sini dengan menaiki motosikal dari Balik Pulau semata-mata untuk menjenguk cucu-cucunya.

“Kami sekeluarga tenang di sini dan saya juga sedang menunggu keputusan daripada JKM untuk menempatkan anak-anak saya di bawah jagaan mereka buat sementara waktu bagi membolehkan saya keluar be­kerja nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Wanita itu ditemui ketika dia menerima kunjungan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nordina Haron di Anjung Singgah Pulau Pinang, kelmarin.

Meskipun sering menjadi mangsa kemarahan suami, katanya, hubungan anak-anak­nya dengan bapa mereka masih rapat kerana lelaki berkenaan tidak pernah ‘naik tangan’ terhadap anak-anak.

Anak sulungnya berusia 10 tahun sering bertanya bilakah akan kembali ke sekolah seperti biasa selepas lebih dua minggu tidak bersekolah di Anjung Singgah.

“Saya harap keadaan kembali normal dan dapat mendapatkan pekerjaan bagi me­nyara keluarga selepas keluar dari pusat ini,” katanya.

Sementara itu Nordina berkata, masih ramai salah faham bahawa Anjung Singgah bukan sekadar tempat berteduh gelandangan, sebaliknya merupakan pusat khidmat bantuan sosial dan intervensi untuk membantu golongan gelandangan produktif.

Anjung Singgah turut disediakan di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Sarawak, Perak, Sabah dan Johor dengan kemudahan asrama, dewan makan, bilik kaunseling dan aktiviti.

Ia dilengkapi sokongan kaunseling bagi membantu penghuni membina semula kehidupan stabil dan berdikari pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN