PETALING JAYA: “Akhirnya, harat saya untuk berdakwah melalui naskah Islamik tercapai.”
Demikian luahan sutradara tersohor, Pali Yahya apabila telefilem khas arahannya Bilal dan Abah bakal ditayangkan sempena Aidiladha di TV Al Hijrah.
Kongsi Pali, telefilem yang diinspirasikan daripada sirah Bilal bin Rabah itu mempunyai nilai istimewanya terutama penggambaran dijalankan di Mekah dan Madinah.
“Walaupun dah banyak mengarah, naskhah ini sangat istimewa kerana menjalani penggambaran di Makkah dan Madinah. Ia sangat sesuai dengan siarannya di waktu AidilAdha dan suasana umat Islam mengerjakan Haji.
“Drama ini turut menonjolkan surau berusia lebih 100 tahun di Slim River, Perak sebagai lokasi penggambaran dan ia sangat menarik,” katanya.
Pali berkata, pemilihan pelakon juga sangat tepat dengan jalan cerita terutama teraju utamanya, Azhan Rani, Ummi Nazeera dan Hisham Harun yang berjaya membawa watak masing-masing dengan berkesan.
“Saya dah banyak kali bekerjasama dengan Ummi dan Azhan. Lakonan Azhan sebagai pemuda autisme yang keanak-anakan sangat mencabar tetapi dibawa dengan baik olehnya.
“Harun Hashim pula sudah agak uzur, namun masih mampu memberi lakonan yang mantap dan menyentuh perasaan,” katanya.
Penerbit Mache Allstar United Sdn Bhd, Datin Norley Aimi Nadiah Shaari pula berkata, Bilal dan Abah adalah telefilem pertama mereka untuk TV Al Hijrah dan mereka berterima kasih kepada panel TV Al Hijrah yang memilih naskhah tersebut.
“Ini adalah kali ketiga kami mengadakan penggambaran di Mekah dan Madinah selepas drama Surat Dari Tuhan (TV3) dan Satu Hari Nanti (Iqiyi).
“Kami mempunyai perniagaan di Mekah termasuk rumah di sana menjadikan urusan penginapan dan logistik diurus dengan sempurna.
“Kami berpuas hati dengan hasil dan komitmen semua kru termasuk Pali Yahya dan pelakon-pelakon lain. Semoga kami diberi peluang lagi menerbitkan drama yang berunsur Islamik,” katanya.
Drama yang akan ditayangkan pada Ahad, 8 Jun ini mengisahkan Bilal lakonan Azhan Rani, seorang pemuda autisme yang sangat mengagumi Bilal bin Rabah.
Dia bercita-cita menjejakkan kaki ke Mekah untuk melaungkan azan dan demi melunaskan impiannya, Bilal mencari tin serta besi buruk untuk mengumpul wang ke sana.
Selain Azhan Rani, drama hasil karya skrip Azal Ezreen turut menampilkan Harun Hashim (Abah), Ummi Nazeera (Fatihah), Luqman Hafidz (Jalal) dan Hafiy Al Tamis.-UTUSAN