BETO Kusyairy awalnya menolak tawaran menghidupkan figura berpengaruh, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman menerusi filem Gayong.
Malah, aktor tersebut mengambil masa lama sebelum akhirnya bersetuju untuk melakonkan watak tersebut.
Bukan mudah melakonkan biopic character dalam filem. Beto sedar dia menggalas tanggungjawab getir apabila bersetuju terbabit dalam filem tersebut.
“Awalnya saya tidak berani terima watak ini walaupun saya pernah belajar seni silat berkenaan.
“Saya gemuruh kerana Meor bukan calang-calang orang malah sangat berpengaruh dan mempunyai jutaan pengikut.
“Lagipun banyak perkara perlu saya pertimbangkan sebelum menyatakan persetujuan. Lagi pula saya tak mahu menjentik sensitiviti waris, sahabat, pelajar serta pengikut Allahyarham.
“Tapi akhirnya pengarah, Faisal Ishak berhasil memujuk saya selepas menerangkan filem ini hanya menceritakan kisah hidup Allahyarham sebelum beliau mengasaskan Pertubuhan Silat Gayong,” katanya.
Selepas menyatakan persetujuan, pelakon asal Kuala lumpur ini segera melakukan pelbagai hal agar dia benar-benar bersedia sebelum memulakan penggambaran.
“Saya berjumpa waris mutlak Seni Silat Gayong, Siti Fazilah yang sangat menyokong penghasilan filem ini. Beliau memberi keizinan dan kebebasan kepada saya untuk mewarnakan karakter Meor.
“Pada masa yang sama, beliau berkongsi mengenai sikap Allahyarham yang menyayangi kanak-kanak dan haiwan selain menggambarkan ketegasan figura itu.
“Selain itu saya juga telah pergi ke Gurun, Kedah untuk bertemu beberapa anak murid Allahyarham antaranya Datuk Paduka Abdul Majid Mat Isa atau Pak Ndak Majid selain Awang Daud yang banyak berkongsi perihal Allahyarham,” kongsinya.
Pemilik nama sebenar, NurKusyairi Zakuan Osman ini juga memaklumkan selain karakter, dia juga perlu membina fizikal yang hampir menyamai Allahyarham agar pembawaan lakonannya lebih memberi impak.
TIDAK TIRU KARAKTER SEBENAR
Beto berpijak di bumi nyata. Dia sedar dirinya tidak akan mampu meniru seratus peratus karakter Allahyarham untuk diterjermahkan dalam layar perak.
Matlamat pelakon berusia 45 tahun itu adalah untuk menjentik penghargaan masyarakat terhadap seni bela diri tempatan menerusi perjuangan Meor.
“Saya terjemahkan sisi kemanusiaan arwah, perjuangannya mempertahankan jati diri Melayu, keluarga dan agama daripada ancaman penjajah British dan Jepun.
“Kalau di Hollywood ada Bruce Lee, di Malaysia kita ada Meor dan ramai lagi tokoh seni bela diri tempatan yang wajar diberikan perhatian,” kongsinya.-UTUSAN










