Bawang Perak bakal catat pengeluaran berganda - Utusan Malaysia

Bawang Perak bakal catat pengeluaran berganda

SAARANI Mohamad melawat gerai jualan sempena FAMA Fest 2025 Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Bawang tempatan pertama negara atau dikenali sebagai Bawang Perak yang mula dituai pada pertengahan tahun lalu disasarkan merekodkan pengeluaran mencecah 140 tan metrik bagi 2025.

Sepanjang 2024, pengeluaran yang dicapai melebihi 12 tan metrik melalui dua fasa di daerah Batang Padang dan Kinta serta Kampar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beberapa kawasan baharu bersesuaian akan dikenal pasti bagi menjayakan hasrat tersebut.

“Itu penting sebab kita sudah mula menjenamakan Bawang Perak dan ia didapati sedap dan manis. Jadi ia memberi tarikan kepada pembeli-pembeli bawang,” katanya semasa majlis perasmian penutup program FAMA Fest 2025 Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng dekat sini hari ini.

Penghasilan bawang tersebut bermula pada April 2024 menerusi kerjasama Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Perbadanan Pembangunan Negeri Perak (SADC) yang dilihat berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap import sayuran itu.

Beberapa kawasan baharu yang dikenal pasti ialah Kuala Kangsar, Batang Padang, Muallim dan Perak Tengah.

Saarani berkata, walaupun barangkali boleh ditanam di mana-mana tetapi ada keperluan untuk mendapatkan tanah yang bersesuaian bagi memastikan bawang terbaik dapat dihasilkan.

Sementara itu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Bawang Perak iaitu pengeluaran bawang yang pertama di Malaysia secara komersial merupakan pencapaian membanggakan.

“Kejayaan ini telah membuka ruang kepada Kementerian untuk menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.4 juta kepada negeri Perak bagi memperluaskan kawasan penanaman Bawang Perak pada tahun ini,” katanya.

Mengenai FAMA Fest di Perak, beliau berkata anjuran tahun 2025 disasarkan mencapai jualan sebanyak RM3 juta dengan penyertaan 120 usahawan, dan melihat negeri ini sebagai penyumbang terbesar dalam penganjuran sama di seluruh negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN