WINSTON-SALEM: Kem latihan Piala Dunia bertukar cemas apabila barisan pemain antarabangsa termasuk kapten Jerman, Joshua Kimmich kini dihantui ancaman kehadiran ular berbisa di kawasan penginapan mereka.
Setakat ini, delegasi pemain dari tiga negara iaitu Jerman, Switzerland dan Norway menyatakan kebimbangan mereka ekoran risiko keselamatan membabitkan hidupan liar tempatan tersebut.
Kimmich bersama rakan sepasukannya dilaporkan bertembung dengan seekor ular jenis copperhead, spesies berbisa yang kerap ditemui di Carolina Utara ketika berada di kem latihan mereka di Winston-Salem.
Sementara itu, skuad Switzerland pula terpaksa menandakan kawasan tertentu di kem San Diego mereka sebagai kawasan ular sebelum kejohanan bermula.
“Kami ternampak seekor ular semalam, dan kami diberitahu ia adalah jenis yang berbisa. Jika dipatuk, anda perlu segera dikejarkan ke hospital.
“Saya rasa ia tidaklah membawa maut, tetapi pastinya amat berbahaya. Saya berasa jika kita terpijak ular seperti itu, padahnya amat buruk.
“Sebab itu kami cuba menjaga jarak dengan haiwan di sini. Di Jerman, saya rasa tidak banyak haiwan berbahaya seperti ini,” kata Kimmich kepada BBC.
Sebagai rekod, Jerman yang pernah merangkul empat gelaran Piala Dunia, hanya mempunyai tujuh spesies ular di negara mereka dengan hanya dua daripadanya adalah berbisa.
“Apabila anda mendengar jenis ular tersebut dan kesan yang menanti jika dipatuk, perkara ini tidak lagi menjadi sesuatu yang melucukan.
“Kami di sini mahu membuat persiapan bagi kejohanan bola sepak terbesar di dunia, namun tiba-tiba para pemain terpaksa melihat ke tanah dahulu sebelum melangkah,” tambah Kimmich lagi.
Dalam perkembangan sama, skuad Norway yang turut berpangkalan di Carolina Utara berdepan situasi serupa selepas laman web rasmi bandar Greensboro mengesahkan ular copperhead adalah sangat biasa ditemui di kawasan sekitar.
Perkhabaran tersebut nyata tidak menggembirakan kapten Norway, Kristian Thorstvedt.
“Saya sama sekali tidak gembira mendengar berita ini,” kata Thorstvedt ringkas apabila dimaklumkan mengenai ancaman hidupan liar berkenaan.










