BALIK PULAU: Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 2026.
Penganugerahan itu diberikan sebagai menghargai sumbangan beliau dalam bidang pendidikan, penyelidikan serta pembangunan modal insan negara ketika ini.
Abdul Rahman, 62, ketika ditemui berkata, beliau amat bersyukur atas penghormatan yang diberikan dan menyifatkan anugerah tersebut sebagai pengiktirafan kepada golongan yang menumpukan usaha dalam menuntut serta menyebarkan ilmu kepada masyarakat.
Menurut beliau, pendidikan memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat dan menjadi pemangkin kepada kemajuan sesebuah negara.
“Saya sendiri adalah antara individu yang mendapat manfaat daripada sistem pendidikan negara. Sejak di bangku sekolah sehingga ke peringkat universiti, saya diberikan peluang dan sokongan yang akhirnya membolehkan saya berkhidmat dalam bidang akademik dan penyelidikan,” katanya.
Terdahulu, beliau menerima anugerah itu daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dalam satu majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di TVET Mara Balik Pulau di sini, hari ini.
Mengulas mengenai hala tuju masa depan negara pula, Abdul Rahman berkata, Malaysia mempunyai ramai bakat hebat khususnya dalam bidang kejuruteraan yang berpotensi menjadi pemacu kepada kemajuan ekonomi berasaskan teknologi tinggi.
“Pulau Pinang juga ketika ini telah menjadi antara hab utama industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor dengan kehadiran lebih 300 syarikat multinasional dan lebih 4,000 industri berkaitan.
“Sehubungan itu, USM akan terus memberi penekanan kepada usaha melahirkan graduan serta tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi kehendak industri, sekali gus membantu negara bersaing dengan negara maju seperti Singapura, Taiwan, China dan Korea Selatan.
Abdul Rahman yang juga penyelidik dalam bidang nanoteknologi berkata, usaha menghasilkan inovasi bertaraf antarabangsa akan terus dipergiatkan kerana pembangunan bakat kekal sebagai tunjang utama dalam memastikan Malaysia terus maju dan berdaya saing di peringkat global.









