Banjir: USM Kubang Kerian tak terjejas, jadi pusat transit pesakit hospital lain

Banjir: USM Kubang Kerian tak terjejas, jadi pusat transit pesakit hospital lain

ABDUL RAHMAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian, Kelantan ketika ini masih belum terjejas akibat banjir yang berlaku di negeri itu.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, berdasarkan pengalaman yang lalu, kampus itu juga belum pernah dinaiki air setakat ini.

Sebaliknya, beliau berkata, kampus tersebut yang turut dikenali sebagai Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) sering menjadi lokasi penempatan sementara atau pusat transit pesakit daripada hospital lain ketika bencana itu berlaku.

“Setakat ini, tidak ada apa-apa masalah lagi (berkaitan banjir). Di sana (HPUSM) mungkin ada kakitangan atau pelajar yang terjejas. Itu kita ambil perhatian untuk membantu mereka,” katanya ketika sidang akhbar khas menjelang Upacara Konvokesyen ke-63 USM yang bermula esok.

Difahamkan, sehingga kini, lebih 8,000 mangsa banjir dari empat buah daerah di negeri itu iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh ditempatkan pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka ditenggelami air sejak kelmarin.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, banjir yang berlaku di Kelantan ketika ini juga tidak menjejaskan sesi pembelajaran di sana kerana hampir semua pelajar tinggal di dalam kampus.

“Kita ada lebih kurang 4,000 pelajar di sana, tetapi, boleh dikatakan semua tinggal di dalam kampus. Asramanya mencukupi. Jadi, tidak perlu bimbang pelajar perlu berulang-alik daripada rumah ke kampus ketika musim banjir ini dan sebagainya,” katanya yang memaklumkan, USM telah melakukan persiapan rapi untuk menghadapi bencana tersebut.

Sementara itu, beliau memberitahu, setakat ini, belum ada mana-mana graduan USM yang terperangkap dalam banjir sehingga tidak dapat menghadiri upacara konvokesyen yang diadakan.

“Namun, jika ada dalam kalangan mereka yang tiada dapat berbuat demikian, mereka boleh maklumkan kepada pihak USM dan kami akan memberikan slot khas untuk majlis tersebut pada upacara (konvokesyen) tahun depan,” katanya.

Upacara Konvokesyen ke-63 yang akan berlangsung sehingga 2 Disember ini secara keseluruhannya melibatkan seramai 9,347 graduan yang terdiri daripada penerima Ijazah Kehormat, ijazah kedoktoran (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda serta diploma kejururawatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN