Aii’na tunai impian arwah bapa

Aii’na tunai impian arwah bapa

Aii’na Mardiah (tudung biru) bergambar bersama graduan cemerlang pelbagai kategori pada Istiadat Konvokesyen Ke-63 USM di George Town, Pulau Pinang semalam. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: “Arwah ayah memang teringin nak tengok saya belajar tinggi-tinggi, jadi pelajar terbaik dan capai cita-cita untuk jadi pensyarah. Hari ini, saya sudah tunaikan impian dia walaupun dia sudah pergi.”

Itu kata Aii’na Mardiah Din, 24, penerima Anugerah Pelajaran Diraja bagi Pelajar Terbaik Kategori Bumiputera sempena Istiadat Konvoke­syen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM). Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESOL).

Aii’na Mardiah berkata, bapanya, Din Yakub, 64, meninggal dunia akibat kanser prostat ketika dia menuntut di tahun pertama universiti.

“Memang banyak cabaran saya tempuhi sepanjang belajar di sini, tapi Alhamdulillah, saya cekalkan hati dan kuatkan semangat untuk berjaya.

“Kalau semua orang bangga dengan saya pun, saya rasa itu tidak mencapai kepuasan diri saya kerana ayah saya tak sempat ucapkan kata-kata bangga,” kata anak ke-13 daripada 15 beradik itu, dengan nada sebak.

Sementara itu, Hadiah Pingat Emas USM bagi pelajar kelainan upaya terbaik diberikan kepada G. Valli, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi.

Anak sulung daripada tiga beradik itu menghadapi masalah penglihatan sejak umur dua tahun dan kini menggunakan mata prostetik di sebelah kiri.

“Banyak cabaran teruta­manya kelas dalam talian. Mata akan sakit jika menggunakan laptop terlalu lama.

“Tugasan pun kena buat cepat sebelum sakit bertambah. Namun lama-kelamaan saya sudah biasa,” katanya yang kini menyambung pengajian Sarjana Teknologi Persekitaran di USM.

Terdahulu, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed memaklumkan seramai 9,347 graduan menerima ijazah ma­sing-masing pada konvokesyen berlangsung sehingga 2 Disember depan.

Daripada jumlah itu, seramai 865 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 3,501 (Sarjana), 4,934 (Ijazah Sarjana Muda) dan 47 (Diploma Kejururawatan), termasuk seorang penerima Ijazah Kehormat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN