Miskin motivasi Elisa untuk ubah nasib keluarga

Miskin motivasi Elisa untuk ubah nasib keluarga

ABDUL Rahman Mohamed (tengah) bersama sebahagian penerima manfaat di bawah program Siswa Sulung, Universiti Sains Malaysia semalam. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Keperitan hidup dialami seorang anak kampung, menjadi titik perubahan buat Nur Elisa Syuhada Syamsul Ikram, 20, apabila cita-citanya melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) tercapai menerusi bantuan program Siswa Sulung.

Anak sulung daripada empat beradik itu mendedahkan pernah melalui detik getir terma­suk makan nasi berlauk sekali sahaja dalam sehari selama beberapa hari sebelum ini, namun, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus ber­usaha membina masa depan yang lebih baik.

“Saya bercita-cita masuk USM, tetapi memikirkan keada­an keluarga yang susah, saya pendamkan dulu hasrat itu. Ibu bekerja sebagai kerani manakala ayah melakukan kerja kampung serta ejen insurans untuk me­nyara kami. Saya tidak sangka pengajian ini akan ditanggung sepenuhnya,” katanya ditemui pada sidang akhbar kemasukan pelajar baharu USM, semalam.

Meskipun gembira, Nur Elisa mengakui sayu kerana buat pertama kali berjauhan dengan keluarga di Kota Bharu, Kelantan.

Lebih meruntun hati, dia hadir mendaftar tanpa membawa duit poket kerana ibunya masih mengumpul wang untuk keperluan asasnya di kampus.

Pelajar baharu, Muhammad Faeiz Danieall Mohamad Farid, 19, yang menghidap mild autisme dan menghadapi masalah sukar untuk bergaul, cuba membuktikan kemampuannya bersaing dengan pelajar-pelajar normal yang lain.

Anak sulung daripada empat beradik ini mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa dan Kesusasteraan dengan dibantu peserta Program Kepimpinan dan Pene­muan Diri atau PALS USM yang akan membimbing kumpulan pelajar bermasalah termasuk orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, seramai 4,936 pelajar baharu mendaftar pada sesi akademik 2025/2026 meliputi kampus induk, kejuruteraan dan kesihatan.

Daripada jumlah itu, 280 pelajar menerima manfaat di bawah program Siswa Sulung dengan peruntukan RM2.8 juta, selain 17 pelajar orang kurang upaya, 16 atlet negeri serta kebangsaan dan lima pelajar Orang Asli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN