KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aisha Retno sedia menerima kritikan kerana dianggap terlalu ‘mentah’ untuk menjurikan program Big Stage x Rocketfuel.
Menurut Aisha, bukan pengalaman menjadi ukuran, sebaliknya pengisian yang ingin dikongsikan dengan peserta program berkenaan.
“Saya terima (kritikan) secara terbuka tapi saya tukar respon penonton nanti kepada perkara positif.
“Saya di sini untuk membantu mencari bakat baharu. Jika salah, saya berhak ditegur.
“Yang paling utama adalah kita sama-sama belajar. Dan yang penting adalah matlamat mencari pelapis dunia nyanyian,” katanya.
Semalam berlangsung sidang media Big Stage x Rocketfuel bertempat di Astro Bukit Jalil.
10 peserta yang bakal berentap merebut wang kemenangan RM200,000 antaranya Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta duo Adam serta Nazmie.
Selain Aisha, dua artis yang bakal mengisi kekosongan kerusi juri adalah Hael Hussaini dan Akim Ahmad.
Disoal tentang kritikan, Aisha memaklumkan dia belum pernah menerima sebarang komen selaku juri program.
“Kritikan sudah ibarat alah bisa, tegal biasa bagi saya. Ia sekadar angin lalu kepada saya.
“Sebagai penyanyi, saya puas menerima pelbagai kritikan. Tapi tidak sebagai juri pertandingan.
“Tetapi itu bukanlah matlamatnya. Saya ingin membantu Hael Husaini dan Akim Ahmad mencari pelapis,” katanya lagi.
Dalam pada itu Aisha mengakui ada menyimpan rasa gemuruh kerana menggalas tugas juri yang pernah disandang nama-nama besar seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Syafinaz, Dayang Nurfaizah dan Aina Abdul.
“Sejujurnya saya gemuruh, berfikir lama untuk menerima lamaran Astro sebagai juri Big Stage.
“Tambah lagi jadual kerja saya tahun ini yang agak padat dan faktor kesihatan saya.
“Walaupun dilamar menjadi juri profesional, saya turut belajar daripada peserta Big Stage kali ini.
“Ia adalah kitaran. Juri dan peserta saling berkongsi ilmu dan tentunya, tiba masa saya tumpahkan apa yang dipelajari selama lama tahun dalam dunia seni,” ujarnya.
Program Big Stage x Rocketfuel kali ini dihoskan Nabil Ahmad, manakala pasangannya akan diumumkan kelak. – UTUSAN










