Bapa tiri mengaku pukul kanak-kanak OKU

Bapa tiri mengaku pukul kanak-kanak OKU

CHRISTOPHER Patit bercakap dalam sidang akhbar di IPD Melaka Tengah, Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bapa tiri kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berusia sembilan tahun yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, Isnin lalu mengaku pernah memukul mangsa bulan lalu. 

Mangsa yang terlantar sejak lahir dipercayai menanggung derita akibat kecederaan patah kaki kiri lebih sebulan, sebelum dihantar ke hospital oleh bapa tirinya dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 10.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek mengaku memukul mangsa menggunakan bantal manakala ibu kandungnya cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum kanak-kanak itu dihantar ke hospital.

“Bedah siasat telah dilakukan di Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka selama hampir enam jam dan setakat ini, punca kematian masih menunggu keputusan makmal untuk pengesahan lanjut.

“Kedua-dua suspek iaitu bapa tiri dan ibu kandung mangsa yang masing-masing berusia 36 dan 39 tahun telah ditahan dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.

Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan, pasangan suami isteri direman tujuh hari selepas disyaki terlibat dengan kes kematian seorang kanak-kanak perempuan OKU fizikal berusia sembilan tahun, dipercayai didera di Kota Laksamana.

Christopher berkata, pemeriksaan awal pegawai perubatan mendapati, mangsa mengalami patah kaki kiri serta kesan lebam di kepala dan badan, namun kecederaan tersebut disahkan bukan punca kematian.

Katanya, polis telah merampas telefon bimbit kedua-dua suspek untuk dianalisis, selain menggunakan kaedah poligraf bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati mereka bebas daripada pengaruh dadah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini terdapat keterangan kukuh mengaitkan unsur pengabaian terhadap mangsa sehingga menyebabkan kematian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN