KUALA NERUS: Demi memudahkan suaminya yang mengalami masalah penglihatan menunaikan solat tarawih sepanjang Ramadan, seorang wanita mengambil inisiatif menginap selama sebulan di Inap desa Masjid Seberang Takir, di sini.
Wan Zailatul Akma Thonronim, 49, dari Kuala Berang, dekat sini berkata, keputusan itu dibuat bagi memudahkan suaminya, warga Perancis, Murad Agrebi, 55, ke masjid menunaikan solat tarawih tanpa perlu berjalan jauh.
Katanya, Murad hanya mampu melihat kira-kira satu peratus selepas mengalami kerosakan saraf mata kira-kira tiga tahun lalu.
“Keadaan penglihatannya semakin terhad menyebabkan pergerakan perlu lebih berhati-hati. Jadi, kami memilih tinggal berhampiran masjid supaya lebih mudah untuk ke solat tarawih dan berjemaah.
“Tahun ini kami mahu merasai suasana Ramadan yang berbeza. Kami mengambil keputusan menginap selama sebulan di inap desa di Masjid Seberang Takir sepanjang Ramadan,” katanya ketika ditemui di sini.
Wan Zailatul Akma berkata, mereka mengetahui inap desa tersebut melalui cadangan adiknya.
Katanya, walaupun mempunyai rumah di Kuala Berang, mereka memilih tinggal menyewa sementara di Inap Desa Masjid Seberang Takir kerana lebih mudah dan mesra orang kurang upaya ( Oku).
Katanya, sejak menginap di situ, mereka sering berbuka puasa di masjid selain sekali-sekala keluar menikmati juadah di luar.
Bagaimanapun, katanya, Murad lebih gemar menikmati makanan ringan seperti salad dan roti sahaja.
“Suami jarang makan nasi dan lebih suka makan salad, roti atau hanya mengambil lauk. Tetapi ada juga beberapa masakan Melayu yang menjadi kegemarannya seperti nasi goreng ayam kunyit, nasi minyak dan roti canai,” katanya.
Menurutnya, mereka mendirikan rumah tangga lebih 10 tahun lalu selepas berkenalan melalui rakan pada 2010 ketika Murad datang ke Malaysia untuk bekerja.
Katanya, suaminya sebelum ini bertugas sebagai jurutera enjin helikopter dan memiliki Ijazah Sarjana dalam kejuruteraan mekanikal aeroangkasa.
“Suami pernah bekerja menguji enjin helikopter dan terlibat dalam kemalangan ketika menjalankan tugas sehingga menjejaskan penglihatan serta pendengarannya. Akibat kejadian itu, dia menggunakan alat bantuan pendengaran selain tidak dapat melihat langsung pada waktu malam,” katanya.
Katanya, selepas bersara dan mengalami masalah kesihatan, Murad pernah melalui fasa kemurungan sebelum mendapatkan rawatan daripada pakar.
Wan Zailatul Akma yang pernah bertugas di bahagian sumber manusia Hospital Sultan Ismail, Johor sebelum bersara pada 2019 berkata, mereka kini membahagikan masa antara Malaysia dan Perancis.
“Tahun lalu kami tinggal enam bulan di Perancis dan enam bulan di Malaysia. Ramadan dan Aidilfitri tahun lepas disambut di Perancis.
“Namun, masjid di kawasan Marseille di Perancis agak jauh, kami perlu bergantung kepada rakan untuk menghantar ke masjid,” katanya. – UTUSAN










