MELAKA: Karnival orang kurang upaya (OKU) berskala besar melibatkan karnival sukan, bakat dan kerjaya merupakan antara inisiatif yang terkandung dalam Belanjawan Melaka 2026 yang akan dibentangkan esok.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia bertujuan mencungkil bakat OKU, selain membuka lebih banyak peluang untuk mereka diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Golongan OKU mempunyai keupayaan luar biasa dan ada antara mereka mampu berkarya menggunakan mulut dan kaki. Kerajaan negeri akan menyediakan satu platform besar supaya bakat mereka dapat ditonjolkan secara lebih tersusun.
“Maklumat lengkap mengenai karnival ini akan dibentangkan pada pengumuman belanjawan negeri esok dan dalam masa yang sama, kita juga bersetuju mengumumkan sesuatu sebagai bentuk penghargaan kepada warga OKU,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kebajikan: Melaka Prihatin, Rakyat Disantuni di Wisma Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Majlis diadakan sempena Sambutan Hari Warga Emas, Hari OKU dan Hari Kanak-kanak, selain perasmian Wisma JKM Melaka.
JKM turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘The Largest Child Protection Advocacy Programme’ selepas melaksanakan program advokasi di 337 sekolah melibatkan 128,148 kanak-kanak di seluruh negara pada 2024, termasuk 30 sekolah di Melaka membabitkan lebih 13,000 kanak-kanak. – UTUSAN










